
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah meneruskan momentumnya dalam menguruskan ekonomi selaras dengan komitmen dan semangat Sabah Maju Jaya (SMJ) apabila merekodkan hasil negeri tertinggi sebanyak RM6.973 bilion tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri berjaya mengekalkan kecemerlangannya dalam merekodkan kutipan hasil tertinggi selama tiga tahun berturut-turut.
Sabah mencatatkan kutipan hasil negeri sebanyak RM6.96 bilion pada 2022 dan RM5.449 bilion pada 2021.
“Kejayaan itu adalah hasil kerja keras penjawat awam. Syabas kepada mereka yang sentiasa bekerja keras dan terima kasih di atas segala komitmen yang membuahkan kejayaan berterusan,” katanya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024, di sini, pada Isnin.
SPONSORED CONTENT Sabah blackouts a thing of the past with electricity power handover Kota Kinabalu: Blackouts or power outages, a regular feature in the Land below the Wind, could be a thing of the past with the federal government’s phased handover of regulatory power on Sabah’s electricity supply to the state government. Read more Hajiji berkata selain mencapai hasil negeri tinggi, Sabah juga berjaya mencatatkan peningkatan pelaburan kumulatif lebih RM33 bilion, disamping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah sebanyak RM118.1 bilion pada 2022.
Beliau juga optimis Sabah mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi empat peratus tahun ini dengan prestasi positif dan peningkatan ekonomi negeri.
Hajiji menjelaskan, selepas hampir tiga tahun pelan hala tuju SMJ, aspirasi itu telah membawa Sabah ke landasan yang betul untuk maju dan membangun melalui petunjuk ekonomi yang menunjukkan kejayaan dan mencerminkan kewibawaan dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri.
Mengenai pilihan raya negeri (PRN), Hajiji berkata ia boleh diadakan pada penghujung penggal Kerajaan Negeri pimpinan GRS-PH Plus pada September 2025 atau bila-bila masa.
“Ia juga bergantung kepada Ketua Menteri, jika beliau mendapat petunjuk atau ilham untuk mengadakan PRN lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.
Hajiji menegaskan, tanpa mengira masa pilihan raya negeri, yang paling mustahak adalah sokongan penuh penjawat awam, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, kepada kerajaan sedia ada.
Katanya, beliau berterima kasih kepada penjawat awam yang memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada dasar Kerajaan Negeri sepanjang tiga tahun di bawah kepimpinannya.
“Perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada jentera kerajaan, di sinilah letaknya nadi atau jentera yang menggerakkan sistem penyampaian kerajaan.
“Cepat atau lambat, berkesan atau kurang berkesan, cekap atau tidak sistem penyampaian Kerajaan, semuanya terletak di bahu penjawat awam.
“Peranan dan tanggungjawab penjawat awam bukan kecil, dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat pengurusan – semuanya ada tanggungjawab dan peranan yang telah ditetapkan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan sedang berusaha melakukan pelbagai perubahan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam negeri, dengan menekankan nilai integriti dengan mewujudkan dasar integriti dan anti rasuah.
Beliau berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana daripada beberapa kes lalu sering berlaku isu integriti, ketirisan dan salah guna kuasa yang kadangkala turut melibatkan penjawat awam.
“Ini sudah tentu menjejaskan imej perkhidmatan awam yang sepatutnya mengamalkan budaya kerja bersih, cekap dan amanah.
“Justeru, budaya kerja yang tidak berintegriti dan mengamalkan salah guna kuasa akan memusnahkan sistem penyampaian Kerajaan, merugikan negeri dan negara, serta menghancurkan masa depan penjawat awam itu sendiri.”
Beliau berkata selaras dengan usaha melahirkan penjawat awam yang cekap, profesional dan berkemahiran, perkhidmatan awam negeri sentiasa merangka latihan dan kursus berimpak tinggi di dalam dan luar negara khususnya kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan dan profesional.
“Saya difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) bercadang mewujudkan pusat latihan serba lengkap dengan peralatan moden dan terkini serta menaik taraf Pusat Latihan Insan di Keningau.
“Selain itu, program pendigitalan turut diberi keutamaan dengan penekanan khusus kepada budaya dan pembangunan pendigitalan di peringkat perkhidmatan awam Negeri,” katanya.
Hajiji berkata bagi menggalakkan penjawat awam meningkatkan motivasi dan kompetensi, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa dasar seperti pemberian insentif cuti kepada pegawai perkhidmatan awam Negeri yang layak yang telah berkhidmat lebih 20 tahun.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan khas RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri, yang mana RM1,000 dibayar pada Januari, dan baki RM1,000 akan diberikan sebelum Hari Raya.
“Tahun ini penjawat awam negeri diberi bonus setengah bulan gaji.
“Insya-Allah tahun depan kita akan mempertimbangkan sumbangan yang lebih sesuai kepada penjawat awam dengan syarat mereka bekerja lebih gigih, lebih strategik, dan bersungguh-sungguh seolah-olah kita sedang berusaha untuk mengembangkan syarikat sendiri.
“Dengan peningkatan hasil negeri – insentif untuk anggota perkhidmatan awam negeri akan menjadi besar dan juga meningkat,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
