
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan Sabah memperoleh RM6.18 bilion hasil tahun ini – bukti bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) sekarang telah mencapai prestasi terbaik sejak merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963.
Hajiji sebelum ini meramalkan kemungkinan itu tetapi ternyata jumlah itu melebihi sasaran RM6bil. Beliau berkata ini membuktikan negeri ini telah diurus dengan baik dan usaha memungut hasil bercukai dan tidak bercukai serta terimaan bukan hasil telah dilaksanakan dengan jayanya.
“Dengan jentera pentadbiran yang cekap dalam pengurusan kewangan, Kerajaan Negeri juga mengekalkan ‘Clean Bill’ bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang telah diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan ketika menggulung untuk Kementerian Kewangan pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu pada 1 Disember.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak di atas komitmen dan kesungguhan yang diberikan sehingga Kerajaan Negeri berjaya mencapai prestasi cemerlang sehingga hari ini.
“Ini adalah hasil usaha Kerajaan Negeri yang tidak pernah putus asa merangka strategi baharu bagi meningkatkan kutipan hasil dan memastikan hasil negeri terus mampan, walaupun ketika kegawatan ekonomi melanda negara,” katanya.
Ketua Menteri turut menyentuh kejayaan menandatangani perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Minyak & Gas Sabah (SOGDC) dan Esteel Enterprise Pte Ltd (Esteel) dari Singapura bagi pembinaan Taman Perindustrian Keluli Hijau bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dengan nilai pelaburan USD4.39 bilion (RM19.6 bilion).
“Projek ini melibatkan tiga fasa yang bermula pada suku ketiga 2023 dan dijangka siap pada 2025. Ini termasuk pembinaan pelbagai kemudahan seperti loji kepekatan besi, loji pelet, jeti dan kemudahan sokongan.
“Limpahan daripada projek ini dijangka menghasilkan tawaran pekerjaan kepada 10,000 hingga 15,000 orang semasa pembinaan, manakala jangkaan 1,752 hingga 5,455 pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya. Ini adalah contoh kejayaan Kerajaan Negeri yang serius dan komited untuk memperkasakan pertumbuhan ekonomi, sekali gus membuka peluang kepada semua rakyat dan usaha ini akan ditingkatkan,” kata Hajiji yang turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Beliau berkata pada hari sama turut diadakan penyampaian cek replika daripada agensi kerajaan negeri dan badan berkanun.
“Sebanyak RM67.8 juta dividen diisytiharkan oleh Borneo Development Corporation Sdn Bhd (BDC), Keningau Agro-Venture Sdn Bhd (KAV), Desa Group Sdn Bhd, Innoprise Corporation Sdn Bhd, KKIP Sdn Bhd, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan Sabah Development Bank Berhad (SDB) serta sejumlah RM1.75 juta dalam bentuk caruman oleh Lembaga Perusahaan Getah Sabah (LIGS), Perbadanan Kemajuan Luar Bandar (KPD), Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), Perhutanan Sabah Lembaga Kemajuan (Safoda) dan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.
“Ini menjadikan jumlah dividen dan caruman yang akan dikutip tahun ini berjumlah RM152 juta, dengan syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun negeri dijangka membuat pembayaran sebelum hujung tahun ini.
“Ini adalah antara kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri dengan dedikasi penjawat awam serta badan berkanun dan agensi kerajaan negeri,” katanya.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Jamil Hamzah (Bugaya) dan Datuk Darell Leiking (Moyog), Hajiji berkata Royalti Petroleum merupakan komponen utama dalam kategori hasil bukan cukai negeri yang turut merangkumi Royalti Perlombongan Emas.
“Memang benar, berbanding 2018, kategori hasil bukan cukai mengalami penurunan daripada RM2.68 bilion kepada RM2.04 bilion. Punca utamanya adalah disebabkan Royalti Petroleum yang menurun daripada RM1.61 bilion pada 2018 kepada RM1.08 bilion tahun lalu berikutan penurunan dalam pengeluaran dan harga petroleum mentah.
“Bagaimanapun, pada tahun ini, berikutan kenaikan harga minyak kepada purata USD94 setong, kita telah menerima kenaikan bayaran royalti petroleum kepada RM1.53 bilion,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


