
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menolak cakap-cakap bahawa geran tanah yang dikeluarkan kepada penduduk kampung oleh kerajaaan Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (GRS-BN) adalah hasil usaha Parti Warisan.
Katanya, usaha yang dilaksanakan menerusi Program Khidmat Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) sejak 2011 itu adalah hasil usaha Kerajaan Negeri BN sebelum ini yang diterajui Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata Kerajaan GRS-BN meneruskan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN ketika itu bagi memastikan penduduk kampung yang tidak mempunyai tanah mendapat hak mereka.
“Tiada guna kita maju apabila masih ada orang di kampung kita yang bergelut, dan mereka tidak mempunyai tanah. Oleh sebab itu, kita minta permohonan tanah penduduk kampung yang telah lama wujud diukur.
“Bagaimanapun, Warisan menyebarkan berita bahawa ia adalah usaha mereka. Ini adalah satu pembohongan kerana kita sudah mengadakan program Pantas sejak 2011, dan ketika itu kita berada dalam kerajaan BN.
“Tetapi, apabila mereka (Warisan) memerintah, mereka mengambil semua usaha yang dilakukan oleh BN dan mengatakan itu usaha mereka, ini semua bohong,” kata Hajiji pada mesyuarat perhimpunan Wanita Permuafakatan GRS-BN di kediaman bekas Adun Pantai Manis Datuk Seri Rahim Ismail di Kg Sungai Padang di Papar pada 12 Nov.
Hadir sama, Adun Pantai Manis Tamin Zainal; Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; bekas Adun Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, Ketua Wanita Umno Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan calon GRS bagi kerusi parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pemimpin pembangkang khususnya Warisan hanya pandai bercakap dan menganggap apa yang dilakukan orang lain itu salah.
“Shafie (Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bila bercakap, (dia) fikir dia seorang sahaja yang cerdik dan orang lain salah.
“Tetapi berapa tahun beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur.... lihat Semporna, mangsa kebakaran semasa beliau menjadi menteri pun tidak dapat diselesaikan.
Kita (Kerajaan GRS-BN) memperuntukkan RM8.2 juta untuk membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran sebelum ini,” katanya.
Hajiji merujuk kepada kejadian kebakaran yang memusnahkan kebanyakan rumah di Kg Bangau-Bangau, Semporna pada 2015.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan sebelum ini turut menjadi punca kepada pembatalan projek pembangunan untuk rakyat termasuk di daerah ini.
“Mereka membatalkan projek yang telah diluluskan kerana tidak bersetuju seperti Jalan Pantai Papar-Lok Kawi apabila ada kelulusan daripada kerajaan BN.
“Begitu juga, projek Lebuhraya Pan Borneo sedang dilaksanakan dengan giat tetapi tertangguh semasa pemerintahan Warisan-Plus ketika itu yang mengakibatkan lewat disiapkan berbanding Sarawak.
“Semua ini berlaku kerana Warisan. Inilah yang mereka lakukan. Mereka tidak fokus untuk bekerja demi kesejahteraan rakyat dan apabila mereka melakukan sesuatu yang luar biasa, ramai yang menjadi mangsa mereka,” katanya.
Hajiji melahirkan keyakinan Armizan memenangi kerusi parlimen Papar. “Warisan berpeluang mewakili kerusi Parlimen ini untuk satu penggal, tetapi tiada sebarang perubahan dibawa atau dilaksanakan dalam tempoh itu.
“Sekarang kita mahu wakil rakyat daripada kerajaan kerana pembangkang tidak boleh bawa apa-apa. Saya mahu Papar terus maju dan maju,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

