Hasil sektor Perkhidmatan meningkat 6.6 peratus kepada RM591.4 bilion pada suku keempat 2023 - DOSM
herman
08/02/2024 - 12:46
KUALA LUMPUR 8 Feb - Hasil sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.6% tahun ke tahun pada suku tahun keempat 2023 untuk merekodkan sebanyak RM591.4 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh prestasi yang menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor Perkhidmatan.
Katanya, peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan yang meningkat RM25.1 bilion kepada RM450.9 bilion.
"Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan (+RM6.1 bilion; 8.1%), segmen Profesional, Hartanah dan Pentadbiran & Khidmat Sokongan (+RM3.1 bilion; 8.8%) dan segmen Kesihatan Swasta, Pendidikan Swasta, Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Perkhidmatan Persendirian & Lain-lain Aktiviti (+RM2.3 bilion; 12.3%),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memaparkan statistik sektor Perkhidmatan yang merangkumi subsektor Perdagangan Borong & Runcit; Maklumat & Komunikasi; Pengangkutan & Penyimpanan; Makanan & Minuman; Profesional; Kesihatan Swasta; Pendidikan Swasta; Penginapan; Kesenian, Hiburan & Rekreasi, Hartanah; Pentadbiran & Khidmat Sokongan; Perkhidmatan Persendirian & Lain-lain Aktiviti dan Pendapatan e-Dagang.

Kata Dr Mohd Uzir, beralih kepada analisis perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, jumlah hasil merekodkan kenaikan 1.3% (+RM7.3 bilion) berbanding suku tahun ketiga 2023.
Menurut beliau, peningkatan ini turut didorong oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan yang meningkat 1.0% (+RM4.3 bilion).
"Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan (+RM1.3 bilion; 1.6%), segmen Profesional, Hartanah dan Pentadbiran & Khidmat Sokongan (+RM1.1 bilion; 3.0%) dan segmen Kesihatan Swasta, Pendidikan Swasta, Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Perkhidmatan Persendirian & Lain-lain Aktiviti (+RM0.6 bilion; 3.2%)," jelas Ketua Pengarah DOSM itu.
Mengulas lanjut berkenaan prestasi tersebut, Dr Mohd Uzir berkata, jumlah hasil keseluruhan sektor perkhidmatan tahun 2023 adalah RM2.3 trilion iaitu meningkat 8.4 peratus berbanding tahun sebelumnya (2022: RM2.1 trilion).
Katanya, prestasi ini disumbangkan oleh oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit, Pengangkutan & Penyimpanan dan Maklumat & Komunikasi masing-masing meningkat 7.7 peratus (+RM119.1 bilion), 15.8 peratus (+RM20.4 bilion) dan 5.3 peratus (+RM8.6 bilion) berbanding 2022.
"Namun begitu, terdapat beberapa subsektor yang masih belum melepasi nilai hasil sebelum pandemik (2019) iaitu Makanan & Minuman (-1.4%), Kesenian, Hiburan & Rekreasi (-24.4%) dan Perkhidmatan Persendirian & Lain-lain Aktiviti (-23.9%).
"Ini berikutan terdapat beberapa aktiviti berkaitan industri pelancongan yang masih dalam fasa pemulihan selepas pembukaan sempadan antarabangsa bermula 1 April 2022 dan belum melepasi paras pra-pandemik," ujarnya.

Bagi pendapatan e-Dagang, Dr Mohd Uzir berkata, ia mencatatkan nilai sebanyak RM291.9 bilion iaitu bertumbuh 1.7% tahun-ke-tahun pada suku tahun keempat 2023.
Katanya, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-Dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.8%.
"Nilai keseluruhan pendapatan e-Dagang pada 2023 bertumbuh 4.9% berbanding tahun sebelumnya bagi merekodkan nilai sebanyak RM1.2 trilion,” kata Ketua Perangkawan itu.
Menurut Dr. Mohd Uzir, jumlah pekerja dalam sektor ini seramai 4.4 juta orang, meningkat 79,300 orang atau 1.8% tahun-ke-tahun.
Katanya, kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dengan peningkatan sebanyak 40,400 orang atau 2.1%, diikuti subsektor Pengangkutan & Penyimpanan (+15,100 orang; 4.2%).
"Bagi suku tahun-ke-suku tahun, jumlah pekerja bertumbuh 0.5%, meningkat 23,400 orang,” jelasnya
Sementara itu, beliau berkata, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.0 bilion atau 3.3% tahun-ke-tahun.
"Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Pengangkutan & Penyimpanan yang masing-masing bertambah sebanyak RM0.4 bilion (+2.5%) dan RM0.2 bilion (+5.6%).
"Bagi perbandingan suku tahun-ke-suku tahun, gaji dan upah berkembang 0.8% untuk mencatatkan RM32.0 bilion pada suku tahun keempat 2023," katanya.- DagangNews.com

