Hasil sektor perkhidmatan meningkat 7.6% kepada RM584 bilion pada suku ketiga 2023 – DOSM
diyana
09/11/2023 - 12:25
KUALA LUMPUR 9 Nov - Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 7.6% tahun ke tahun pada suku ketiga 2023 dengan merekodkan sejumlah RM584 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan tersebut dirangsang prestasi menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor perkhidmatan, dengan peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman; serta penginapan yang meningkat RM28.7 bilion kepada RM446.6 bilion.
“Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi, serta pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat RM7.2 bilion atau 9.8%, segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan (RM3.1 bilion; 9.4%) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (RM2.2 bilion; 12.3%),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata pendapatan e-Dagang bernilai RM289.5 bilion pada suku dalam tinjauan, meningkat 5.4% tahun ke tahun dan 3.2% suku ke suku.
Beralih kepada analisis perbandingan suku ke suku, jumlah hasil pada suku ketiga 2023 merekodkan kenaikan 2.8% atau RM15.8 bilion, didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman; serta penginapan yang meningkat 3% atau RM13.1 bilion.

Ini diikuti pertumbuhan segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (RM1.1 bilion; 1.4%), segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (RM800 juta; 4.3%) dan segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan (RM800 juta; 2.2%).
Mohd Uzir berkata jumlah pekerja dalam sektor ini seramai 4.4 juta orang, meningkat 79,400 orang atau 1.8% tahun ke tahun.
“Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dengan peningkatan sebanyak 37,200 orang atau 1.9%, diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan (15,000 orang; 4.2%). Bagi suku ke suku tahun, jumlah pekerja bertumbuh 0.6%, meningkat 24,400 orang,” katanya.
Sementara itu, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan RM1.1 bilion atau 3.6% tahun ke tahun, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan yang masing-masing bertambah RM400 juta atau 2.6% dan RM200 juta atau 5.8%.
Sementara itu, bagi perbandingan suku ke suku tahun, gaji dan upah berkembang 0.9%, mencatatkan RM31.8 bilion pada suku tahun ketiga 2023. - DagangNews.com
