Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia naik 5% pada suku ketiga 2023 - DOSM

LocalBusiness & Finance
9 Nov 2023 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia naik 5% pada suku ketiga 2023 - DOSM

zulfadli

09/11/2023 - 12:35

KUALA LUMPUR 9 Nov - Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5% tahun ke tahun pada suku ketiga 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada tempoh yang sama, indeks itu meningkat 2.5% berbanding suku kedua 2023.

Katanya, peningkatan itu disumbangkan subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 11.2%, diikuti perdagangan borong dan perdagangan runcit yang meningkat masing-masing 6.1% dan 3.4%.

"Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum naik 2.5%, disokong kenderaan bermotor yang tumbuh 8.5%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan positif 11.2% bagi indeks volum subsektor kenderaan bermotor disokong jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor masing-masing dengan 14.9% dan 13.3%.

"Bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor kembali positif kepada 8.5%," katanya.

Mengulas lanjut prestasi indeks volum perdagangan borong, beliau seterusnya memaklumkan peningkatan sebanyak 6.1% bagi subsektor itu disumbangkan oleh jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dengan 10.9%.

image is not available

Menurut Mohd Uzir, ia diikuti lain-lain pengkhususan jualan borong (9.8%), jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (9.4%), jual borong makanan, minuman dan tembakau (7.2%) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (6.1%).

Beliau berkata, bagi prestasi suku tahunan, indeks volum perdagangan borong naik 2.2% berbanding suku tahun sebelumnya.

Katanya, indeks volum subsektor perdagangan runcit merekodkan pertumbuhan positif 3.4% disumbangkan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau dengan 9.6%.

"Ini diikuti jualan runcit bahan api kenderaan (9.5%), jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (6.6%), jualan runcit di gerai dan pasar (3.8%) dan jualan runcit di kedai pengkhususan (2.8%).

"Bagi perbandingan suku tahun, indeks volum perdagangan runcit naik 1.5% berbanding suku tahun lepas.

"Bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit merosot -0.8 peratus berbanding suku kedua 2023, dipengaruhi pertumbuhan negatif bagi semua subsektor iaitu perdagangan runcit (-2.8%), kenderaan bermotor (-1.9%) dan perdagangan borong (-1.7%)," katanya. - DagangNews.com

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved