Hasil TDM melonjak 19% kepada RM768 juta pada FY2025, tertinggi dalam sejarah kumpulan

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 5:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil TDM melonjak 19% kepada RM768 juta pada FY2025, tertinggi dalam sejarah kumpulan Image from: Hasil TDM melonjak 19% kepada RM768 juta pada FY2025, tertinggi dalam sejarah kumpulan liza22/06/2026 - 17:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 22 Jun – TDM Berhad menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat hasil tertinggi dalam sejarah kumpulan sebanyak RM768.1 juta, meningkat 19 peratus berbanding RM645.6 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM21.2 juta bagi FY2025, meningkat 473% berbanding RM3.7 juta yang dicatatkan pada FY2024, didorong prestasi lebih kukuh segmen perladangan dan kesihatan serta pengurusan kos yang lebih berkesan, sekali gus mencerminkan pemulihan prestasi kewangannya.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak kepada RM42.4 juta berbanding RM10.3 juta pada FY2024, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM140.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusi TDM, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata prestasi tersebut membuktikan daya tahan model perniagaan TDM dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran geopolitik yang memberi kesan kepada pelbagai sektor.

 

“Prestasi FY2025 mencerminkan kekuatan asas perniagaan TDM serta keberkesanan strategi yang dilaksanakan oleh kumpulan. Kejayaan ini menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan pelan strategik FOCUS 30 yang akan memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TDM ke-61 di Kuala Terengganu hari ini.

 

Para pemegang saham turut meluluskan lapan resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat tersebut.

 

Dalam segmen perladangan, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) terus menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan dengan pendapatan RM399.5 juta, meningkat 37 peratus berbanding RM291.2 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (FFB), peningkatan jumlah pemprosesan kilang serta harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal kukuh di pasaran.

 

t

 

Sepanjang FY2025, pengeluaran FFB meningkat kepada 305,809 tan metrik berbanding 283,727 tan metrik pada FY2024. Jumlah FFB yang diproses turut meningkat sebanyak 27 peratus, disokong oleh peningkatan pembelian buah luar (Outside Crop Purchase – OCP) yang membantu mengoptimumkan kapasiti kilang dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Harga purata CPO yang direalisasikan pula berada pada RM4,325 setan metrik, melebihi paras purata penanda aras industri. 

 

Prestasi ini turut disokong oleh pengeluaran yang mendapat pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang membolehkan syarikat tersebut mengakses pasaran premium.

 

Dalam masa yang sama, kumpulan terus berdepan tekanan kos akibat ketidaktentuan geopolitik global yang mempengaruhi harga bahan api, baja dan logistik. Namun, TDM memperkukuh pengurusan kos, meningkatkan kecekapan operasi serta memperluaskan penggunaan mekanisasi dan teknologi digital bagi memastikan daya tahan perniagaan kekal kukuh.

 

Bagi segmen penjagaan kesihatan, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) mencatatkan hasil sebanyak RM368.6 juta, meningkat empat peratus berbanding RM354.4 juta pada FY2024, dipacu oleh peningkatan jumlah pesakit dan pertumbuhan hasil per pesakit.

 

Jumlah pesakit yang menerima rawatan di rangkaian hospital KMI meningkat kepada 215,935 orang berbanding 201,239 orang pada tahun sebelumnya.

 

t

 

Sepanjang tahun kewangan itu, KMI Healthcare terus memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta yang dipercayai melalui pelaburan dalam teknologi perubatan, transformasi digital serta penggunaan Business Intelligence (BI) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.

 

KMI Healthcare juga memperkukuh identitinya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan berkonsepkan Hospital Mesra Ibadah dan Patuh Syariah yang mengintegrasikan aspek klinikal, kebajikan dan keperluan spiritual pesakit.

 

Pelan strategik FOCUS 30 terus menjadi pemacu utama hala tuju kumpulan dengan penekanan terhadap kecemerlangan operasi, pengurusan modal berdisiplin, pembangunan bakat dan pertumbuhan mampan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin pula berkata, FOCUS 30 akan memastikan kedua-dua sektor perladangan dan penjagaan kesihatan kekal sebagai pemacu utama prestasi kumpulan.

 

Sebagai menghargai sokongan pemegang saham, lembaga pengarah turut meluluskan pembayaran dividen keseluruhan sebanyak 0.69 sen sesaham bagi FY2025, menjadikannya antara pembayaran dividen tertinggi dalam tempoh sedekad. - DagangNews.com

Terkini featured standard