Kronologi Asia kembali catat untung bersih, kutip hasil RM62 juta bagi 1QFY27

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kronologi Asia kembali catat untung bersih, kutip hasil RM62 juta bagi 1QFY27 Image from: Kronologi Asia kembali catat untung bersih, kutip hasil RM62 juta bagi 1QFY27 amree22/06/2026 - 17:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 JunKronologi Asia Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih RM1.01 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berbanding kerugian bersih RM241.44 juta pada suku sebelumnya.

 

Pemulihan prestasi ini didorong terutamanya ketiadaan lagi kerugian perakaunan bukan tunai pada suku sebelumnya (4QFY26), yang berpunca daripada pelarasan nilai atau kemerosotan nilai muhibah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM61.94 juta, meningkat 5% berbanding suku sebelumnya dan melonjak 53% berbanding tempoh yang sama tahun lalu (YoY).

 

"Sebahagian besar perolehan iaitu kira-kira 96% daripada pendapatan operasi atau sebanyak RM59.71 juta disumbangkan menerusi pasaran Singapura, Filipina, dan China," jelas Kronologi Asia lagi.

 

Tambah kumpulan tersebut, segmen teknologi infrastruktur pengurusan data perusahaan (EDM) kekal sebagai penyumbang utama dengan RM44.71 juta atau kira-kira 72% daripada jumlah keseluruhan hasil.

 

Selain itu, ia mengekalkan kunci kira-kira kukuh dengan rizab tunai melebihi RM47 juta berbanding pinjaman jangka pendek RM12.5 juta, dengan nisbah penggearan atau hutang yang rendah pada 14.5%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kronologi Asia, Edmond Tay berkata, kumpulan telah memperkukuh asas kewangan bagi memacu strategi transformasi jangka panjang dalam pasaran dinamik.

 

"Dengan gabungan kestabilan ini dan pendekatan pasaran baharu, kami kini sedang memenuhi permintaan semakin meningkat bagi rumusan data hujung-ke-hujung sedia untuk kecerdasan buatan (AI)," katanya.

 

Beliau menambah yang kumpulan tersebut berasa optimis dengan kemajuan awal dicapai dan yakin berada di kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran jangka pendek bagi perolehan kasar serta keuntungan.

 

Pada 3 Jun 2026, Kronologi Asia memeterai perkongsian strategik dengan peneraju global dalam platform kedaulatan dan tadbir urus data AI sebagai sebahagian daripada hala tuju teknologi. - DagangNews.com

Terkini standard