liza12/08/2026 - 09:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos – Tex Cycle Technology (M) Berhad mencatat lonjakan hasil sebanyak 180% kepada RM24.1 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2 FY2026), didorong peningkatan permintaan terhadap aktiviti pemulihan dan kitar semula serta sumbangan daripada Meridian World Sdn Bhd.
Bagi suku berakhir 30 Jun 2026 itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 25% kepada RM4.3 juta berbanding RM3.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya manakala keuntungan bagi tempoh tersebut berjumlah RM3.1 juta dengan pendapatan sesaham asas sebanyak 1.16 sen.
Bahagian pemulihan dan kitar semula kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan kumpulan apabila hasilnya melonjak 322% kepada RM22.4 juta berbanding RM5.3 juta pada Q2 FY2025, disokong permintaan jualan yang lebih tinggi serta sumbangan daripada Meridian.
Sementara itu, bahagian tenaga boleh baharu merekodkan hasil RM1.2 juta pada suku berkenaan, disumbangkan oleh loji solar di bawah skim Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) serta projek Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Baharu Korporat.
Prestasi Kewangan Terus Mengukuh
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1H FY2026), Tex Cycle mencatat hasil RM44.8 juta, meningkat kira-kira 155% daripada RM17.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat kira-kira 38% kepada RM8.2 juta berbanding RM6 juta sebelumnya, manakala keuntungan bagi tempoh tersebut naik kepada RM6.6 juta daripada RM5.1 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass A/L Anthony Francis berkata, pihaknya berpuas hati dengan momentum kukuh yang dicatat pada Q2 FY2026 apabila hasil dan keuntungan sebelum cukai meningkat berbanding tahun sebelumnya serta suku sebelumnya.
Menurutnya, pertumbuhan bahagian pemulihan dan kitar semula bersama sumbangan Meridian menunjukkan kekuatan platform perniagaan Tex Cycle yang semakin berkembang dan mengukuhkan keyakinan kumpulan terhadap peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
Perluas Perniagaan Pengurusan Sisa
Beliau berkata, Tex Cycle kini mempercepatkan pengembangan dalam beberapa bidang utama termasuk pemprosesan dan pengeluaran produk daripada hasil sampingan sisa bernilai tinggi melalui Meridian, selain pengeluaran BiobiN dan kompos untuk rawatan serta pemulihan sisa organik.
Kumpulan turut mengembangkan keupayaan rawatan sisa sektor minyak dan gas di fasiliti Telok Gong serta menjalin kerjasama strategik dengan Anggun Kitar Resources Sdn Bhd bagi memperluaskan keupayaan dalam rantaian nilai alam sekitar.
Pada 7 Julai 2026, anak syarikat milik penuh Tex Cycle, Tex Cycle (P2) Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan Anggun Kitar Resources bagi membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kod sisa terjadual masing-masing di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua syarikat boleh menguruskan jenis sisa terjadual yang lebih luas, manakala Tex Cycle juga akan memanfaatkan sinergi antara Tex Cycle (P2) dan Meridian untuk memperluaskan perkhidmatan, membangunkan penyelesaian bernilai tambah serta mendapatkan peluang baharu dalam pasaran. - DagangNews.com



