liza31/07/2026 - 17:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Northern Solar Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) disokong pertumbuhan hasil dan keuntungan yang lebih tinggi hasil perluasan perniagaan tenaga solar.
Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM113 juta bagi FY2026 berbanding RM84.87 juta pada tahun sebelumnya, mewakili peningkatan kira-kira 33 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan kasar meningkat kepada RM38.83 juta daripada RM32.07 juta pada FY2025 manakala keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM15.28 juta daripada RM11.41 juta, bersamaan pertumbuhan sekitar 34 peratus.
“Prestasi itu menunjukkan operasi teras kumpulan terus berkembang meskipun perbelanjaan pentadbiran meningkat kepada RM18.47 juta daripada RM13.98 juta berikutan pertumbuhan perniagaan serta peningkatan aktiviti operasi.
“Selain itu, pendapatan sesaham asas turut meningkat kepada 3.86 sen berbanding 3.37 sen pada FY2025, mencerminkan peningkatan pulangan kepada pemegang saham,” katanya.
Kedudukan Kewangan Dan Tunai Kekal Kukuh
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat kepada RM82.91 juta, manakala jumlah ekuiti keseluruhan kumpulan mencecah RM83.37 juta pada akhir FY2026.
Kumpulan turut mengekalkan kedudukan tunai yang sihat dengan baki tunai dan setara tunai sebanyak RM42.96 juta pada 31 Mac 2026 walaupun melaksanakan pelbagai pelaburan sepanjang tahun kewangan tersebut.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi kekal positif sebanyak RM2.42 juta selepas mengambil kira pembayaran cukai, menunjukkan perniagaan utama syarikat masih mampu menjana tunai daripada operasinya.
Dalam tempoh sama, Northern Solar membelanjakan lebih RM10 juta bagi pembelian loji dan peralatan, sebagai komitmen kumpulan untuk memperkukuh kapasiti aset serta menyokong pertumbuhan projek tenaga solar pada masa hadapan.
Nilai aset loji dan peralatan kumpulan turut meningkat kepada RM21.09 juta pada akhir FY2026 berbanding RM12.33 juta setahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh pembangunan sistem solar fotovoltaik dan projek yang masih dalam pembinaan.
Terus Perkukuh Perniagaan Tenaga Solar
Seiring usaha memperluas perniagaan, kumpulan menubuhkan empat anak syarikat baharu sepanjang FY2026 yang memberi tumpuan kepada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), pelaburan aset solar, pembinaan loji janakuasa, Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), projek Solar Skala Besar serta projek lampu jalan berkuasa solar.
Sementara itu, Northern Solar optimis prospek industri tenaga boleh baharu terus berkembang, disokong pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Skim Sokongan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Program Solar ATAP serta projek Solar Skala Besar 6 (LSS6).
Menurut syarikat, pelaksanaan dasar-dasar tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang dalam segmen kediaman, komersial dan perindustrian, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap penyelesaian tenaga solar di negara ini.
Bagi memanfaatkan peluang berkenaan, Northern Solar merancang menyertai tender LSS6 sebagai kontraktor EPCC serta pemaju projek solar. Pada masa sama, syarikat akan memberi tumpuan kepada projek di bawah CRESS, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan perjanjian pembelian tenaga bagi mengukuhkan saluran projek masa depan.
Walaupun prospek industri dilihat memberangsangkan, Northern Solar mengakui ketegangan geopolitik serta turun naik harga tenaga dunia terus memberi tekanan terhadap kos pengeluaran panel solar, bahan mentah dan kos logistik.
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan risiko tersebut dikurangkan menerusi strategi mempelbagaikan sumber bekalan, tidak bergantung kepada satu pembekal sahaja serta memperkukuh perancangan perolehan dan pengurusan kewangan bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terjejas.
Dalam kenyataan pengurusan, Northern Solar turut menyatakan permintaan terhadap tenaga bersih dijangka terus meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi, pendigitalan, peningkatan penggunaan elektrik serta komitmen syarikat korporat terhadap agenda kelestarian.
Sehubungan itu, syarikat yakin strategi yang dirangka, disokong penekanan terhadap kualiti projek, kepuasan pelanggan dan disiplin pelaksanaan, akan membolehkan Northern Solar terus mencipta nilai mampan kepada pemegang saham serta menyumbang kepada usaha Malaysia mempercepat peralihan ke arah penggunaan tenaga bersih. - DagangNews.com






