'Hasrat terakhir buat ayah tertunai, tiga anak Kapten AA dapat pasport ke Oman'

28 Nov 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Hasrat terakhir buat ayah tertunai, tiga anak Kapten AA dapat pasport ke Oman'
Tiga anak Allahyarham Kapten AA menerima pasport masing-masing selepas urusan dengan Kedutaan Besar Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia diselesaikan.
Image from: 'Hasrat terakhir buat ayah tertunai, tiga anak Kapten AA dapat pasport ke Oman'
Anak Kapten AA terima passport. Kredit gambar Threads, @saifulnang

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiga anak pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, akhirnya menerima pasport masing-masing selepas urusan dengan Kedutaan Besar Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia diselesaikan, sekali gus membolehkan mereka berangkat ke Oman untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham bapa mereka.

Perkembangan itu dikongsikan pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads, @SaifulNang, yang turut memuat naik video memaparkan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan memegang pasport bersama pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut Saiful, anak-anak Allahyarham kini bersedia untuk berlepas ke Oman.

"Anak-anak Akhmal Asyraf dah dapat pasport.

"Esok pagi kalau dapat flight Oman Air terbang pagi sampai Muscat tengah hari esok. Ramai santuni mereka di Imigresen," ujarnya pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menerima panggilan daripada pelbagai pihak sejak pagi Jumaat berhubung kesukaran tiga beradik itu mendapatkan pasport untuk ke Oman, lokasi Allahyarham akan disemadikan.

"Sejak pagi tadi, saya menerima panggilan bertalu-talu daripada pelbagai pihak yang memaklumkan kesukaran anak-anak Allahyarham Akhmal Asyraf, atau Kapten AA, mendapatkan pasport untuk ke Oman, tempat ayah mereka akan disemadikan.

"Sebak hati saya memikirkan tiga beradik ini. Dalam saat baru kehilangan ayah tersayang, mereka sedang berusaha untuk sampai ke sana bagi memberi penghormatan terakhir," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.

**media[3725793]**

Menurut beliau, pihaknya segera meminta pegawai menghubungi rakan Allahyarham, Saiful Nang bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menyelaraskan urusan pasport bersama wakil keluarga di Malaysia.

"Alhamdulillah, petang ini Isa, Hud dan Luth telah menerima pasport mereka di UTC Shah Alam. Terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan pantas, serta kepada semua yang membantu dan menitipkan doa.

"Takziah buat keluarga, moga ALLAH SWT mempermudah perjalanan anak-anak ini dan mengurniakan kekuatan kepada seluruh keluarga.

"Semoga ALLAH SWT mengampuni Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya.

Sebelum ini, Kapten AA meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru. Berita pemergian Allahyarham disahkan keluarganya menerusi hantaran di Threads sebelum turut dikongsikan Saiful Nang.

Pemergian Allahyarham turut meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga, terutama adiknya, Amal Mohd, yang kehilangan satu-satunya abang dan teman membesar sejak kecil.

Menerusi perkongsian di Threads, Amal meluahkan rasa kehilangan terhadap insan yang selama ini berkongsi pelbagai kenangan bersamanya, namun memaklumkan keluarga reda dengan pemergian Allahyarham.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved