Hata jadi platform aset digital pertama di Malaysia terima pensijilan patuh Syariah

Business & FinancePersonal Finance
5 May 2026 • 1:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hata jadi platform aset digital pertama di Malaysia terima pensijilan patuh Syariah Image from: Hata jadi platform aset digital pertama di Malaysia terima pensijilan patuh Syariah liza05/05/2026 - 13:30 Gambar hiasan Unsplash.com Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Mei – Hata Digital Sdn Bhd, sebuah bursa aset digital berlesen dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mencatat sejarah apabila menjadi platform aset digital pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Syariah sepenuhnya.

 

Pensijilan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju global dalam kewangan Islam, selaras dengan pengiktirafan berterusan negara dalam Indeks Pembangunan Kewangan Islam Global 2025.

 

Pensijilan itu diperoleh selepas penilaian menyeluruh selama setahun oleh penasihat Syariah bebas, Amanie Advisors Sdn Bhd yang menilai rangka kerja operasi Hata termasuk aspek perniagaan, pematuhan Syariah dan tadbir urus platform.

 

Penilaian berkenaan merangkumi pelbagai komponen utama seperti perkhidmatan broker dan bursa digital, penyaringan aset digital yang ditawarkan, pengurusan dompet digital, struktur akaun pemegang amanah, pengendalian deposit tidak diperuntukkan, perkhidmatan staking, struktur yuran dan caj, program afiliasi serta mekanisme kawalan aktiviti tidak patuh Syariah.

 

Hata berkata platform itu merekodkan jumlah transaksi melebihi RM1.04 bilion pada tahun 2025, dengan deposit fiat bulanan tertinggi mencecah RM28.7 juta, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan platform tersebut.

 

“Selain itu, aset di bawah jagaan (assets under custody, AUC) Hata turut mencapai kemuncak RM115 juta pada September 2025 sebelum mencatat pelarasan berikutan keadaan pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengembangan ini turut berlaku seiring dengan perkembangan pesat industri teknologi kewangan Islam global, yang diunjurkan mencecah nilai kira-kira AS$341 bilion menjelang 2029 yang membuka ruang lebih luas kepada platform patuh Syariah dalam ekosistem kewangan digital.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low berkata, pensijilan Syariah ini memenuhi permintaan pengguna Muslim yang mahukan platform aset digital yang selaras dengan prinsip kewangan Islam sejak awal pelancaran syarikat itu.

 

“Hata komited untuk membina platform yang dipercayai, inklusif dan dikawal selia dengan baik, selain menyediakan akses kepada pelabur runcit dan institusi untuk menyertai ekonomi aset digital secara lebih selamat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Amanie Advisors Sdn Bhd, Suhaida Mahpot berkata, Hata telah melalui penilaian ketat dan memenuhi keperluan Syariah merentasi keseluruhan operasi serta tawaran produknya.

 

Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai langkah penting dalam merapatkan jurang antara aset digital dan kewangan Islam, selain memperkukuh keyakinan terhadap ekosistem pelaburan digital yang lebih inklusif dan beretika.

 

Setakat ini, Hata telah merekodkan lebih 218,000 pengguna, meningkat daripada 209,000 pengguna yang dicatatkan sebelum ini, dan terus memperluas penawaran produk termasuk staking dan pelaburan automatik (auto-invest), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform aset digital tempatan yang berkembang pesat. - DagangNews.com

Terkini standard