liza04/05/2026 - 08:54 Gambar Urus Setia Penerangan Darul Iman Fokus Berita Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com Prestasi kewangan dan ekonomi Terengganu ketika ini memperlihatkan satu trajektori yang semakin kukuh, bukan sahaja dari sudut pengurangan liabiliti, tetapi juga keupayaan menjana hasil secara lebih strategik tanpa bergantung sepenuhnya kepada royalti petroleum.
Pendekatan State Asset Monetization, iaitu pendekatan menjana hasil secara lebih sistematik daripada aset milik kerajaan negeri, kini menjadi antara instrumen utama dalam reformasi fiskal negeri itu, dengan sasaran menjana sekurang-kurangnya RM50 juta hingga RM100 juta setahun.
Dari sudut dasar, pendekatan ini merujuk kepada usaha mengubah aset kerajaan negeri yang bersifat tidak aktif atau kurang produktif seperti tanah, premis, kemudahan logistik, aset infrastruktur dan pegangan komersial kepada sumber hasil berterusan melalui kaedah pajakan, caj penggunaan, kerjasama awam-swasta (PPP), konsesi serta struktur pengewangan nilai jangka panjang.
Berbeza dengan model tradisional, State Asset Monetization membolehkan kerajaan negeri “unlock value” daripada aset sedia ada tanpa melupuskan pemilikan, sekali gus mengekalkan kawalan strategik terhadap aset berkenaan sambil menjana aliran hasil yang lebih stabil dan berulang.
Pendekatan ini turut mengubah peranan kerajaan negeri daripada sekadar pentadbir aset kepada pengurus portfolio aset yang lebih dinamik, selari dengan amalan pengurusan aset berorientasikan pulangan dan keberkesanan kos.
Dalam konteks Terengganu, pelaksanaannya merangkumi pelbagai instrumen seperti caj jeti komersial, semakan kadar Lesen Pendudukan Sementara (LPS), premium tanah berasaskan nilai pasaran, dasar zero discharge serta penguatkuasaan bagi mengurangkan ketirisan hasil.
Kesan kumulatifnya ialah peningkatan keupayaan fiskal negeri untuk menjana pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada hasil petroleum yang tidak stabil, sekali gus memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang.

Sokongan Titah Pemangku Raja
Dalam konteks ini, titah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang menekankan kestabilan, ketahanan dan kesejahteraan rakyat, memperkukuh asas bahawa pertumbuhan ekonomi negeri perlu disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan mampan.
Baginda bertitah, ekonomi Terengganu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada tahun 2024 dengan nilai RM39.9 bilion, berbanding 2.2 peratus pada tahun 2023 yang mencatatkan RM38.2 bilion.
"Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negeri iaitu sebanyak 51.9 peratus, diikuti sektor pembuatan 36.6 peratus dan sektor pembinaan 17.5 peratus," titah baginda lagi.
Hasil Negeri Cecah Rekod
Momentum ini dijangka berterusan pada 2025 apabila ekonomi Terengganu mencatat prestasi kukuh dengan hasil negeri melepasi RM450 juta, tertinggi dalam sejarah, disokong kemasukan pelaburan sekitar RM6 bilion serta impak awal pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Daripada asas KDNK tersebut, ekonomi negeri berada pada landasan untuk terus berkembang dalam jangka sederhana dan panjang, termasuk unjuran mencecah sekitar RM48.2 bilion menjelang 2040 melalui pengembangan sektor pelancongan, ekonomi digital dan perindustrian.
Dalam masa sama, kejayaan kerajaan negeri mengurangkan hutang daripada sekitar RM907 juta pada 2017 kepada hanya RM114.68 juta setakat Mac 2026 menunjukkan disiplin fiskal yang semakin ketat dan konsisten.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula dilihat mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam pengurusan kewangan, khususnya dalam menilai keperluan pinjaman baharu berdasarkan impak langsung kepada rakyat dan kemampuan bayaran balik negeri.
Kombinasi antara pengurangan hutang, peningkatan hasil melalui State Asset Monetization serta pertumbuhan ekonomi yang stabil meletakkan Terengganu dalam posisi yang lebih kukuh dari sudut asas makroekonomi negeri.
Pemacu Ekonomi Pantai Timur
Namun, kekuatan sebenar transformasi ini hanya akan lebih ketara apabila ia diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti sektor sebenar.
Pelabuhan Kemaman sebagai hab industri utama serta pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menjadi pemangkin utama kepada gelombang pertumbuhan baharu di Terengganu, disokong beberapa projek mega dan strategik lain seperti Taman Perindustrian Kertih serta Kemaman Supply Base.
Selain itu, Terengganu Silica Valley di Setiu turut berpotensi menjadi hab industri berasaskan mineral bernilai tinggi, manakala sektor pelancongan diperkukuh menerusi Pulau Bidong, Taman Laut Terengganu serta gugusan pulau utama seperti Redang, Perhentian dan Kapas.
Sementara itu, infrastruktur seperti Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terus menyokong kesalinghubungan negeri, yang bakal diperkukuh lagi dengan integrasi ECRL.

Secara keseluruhannya, strategi menjana hasil menerusi aset bernilai tinggi kerajaan membantu Terengganu mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak memperlihatkan perubahan struktur ekonomi negeri yang lebih menyeluruh serta menjadi teras kepada transformasi fiskal dan pembangunan jangka panjang negeri ini.
Perkembangan semasa ekonomi Terengganu memperlihatkan asas yang semakin kukuh dan tersusun, dipacu oleh disiplin fiskal, peningkatan hasil negeri serta pendekatan baharu dalam pengurusan aset.
Gabungan pengurangan hutang yang ketara, pertumbuhan KDNK yang stabil serta kemasukan pelaburan baharu menunjukkan negeri itu berada pada landasan yang lebih seimbang dalam membina struktur ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Dengan sokongan projek infrastruktur strategik seperti ECRL, peranan Pelabuhan Kemaman sebagai hab logistik serta peluasan sektor pelancongan dan industri baharu, Terengganu dilihat mempunyai kelebihan kompetitif untuk muncul sebagai antara enjin pertumbuhan utama di Pantai Timur.
Jika momentum ini diteruskan secara konsisten, negeri ini berpotensi mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai negeri berpendapatan lebih stabil, tetapi juga sebagai pemacu ekonomi serantau yang lebih dinamik dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com






