'Hati-hati jika terima mesej kawan nak pinjam wang'

LocalPolitics
13 Dec 2024 • 5:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menyamar sebagai rakan dan menghubungi mangsa menerusi WhatsApp untuk meminjam wang antara modus operandi digunakan penjenayah untuk melakukan penipuan. Gambar hiasan

JEMPOL - Menyamar sebagai rakan dan menghubungi mangsa menerusi WhatsApp untuk meminjam wang antara modus operandi digunakan penjenayah untuk melakukan penipuan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lima kes penyamaran dengan modus operandi sama disiasat pihaknya membabitkan kerugian sebanyak RM16,950.

"Polis telah menerima beberapa laporan daripada orang awam berkaitan kes tipu dan menyamar kenalan melalui WhatsApp.

"Suspek meminta wang dengan pelbagai alasan supaya mangsa memasukkannya ke dalam akaun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, antara alasan diberi untuk meminjam wang termasuk bagi tujuan perniagaan, telah diragut, memerlukan wang untuk perbelanjaan dan bagi membayar bil rawatan atau membeli barang keperluan.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya mengetahui akaun WhatsApp rakannya digodam selepas memasukkan wang ke dalam akaun diberi.

"Semakan mendapati, lima kertas siasatan dibuka berkaitan kes menyamar kenalan dan mangsa terdiri tiga lelaki dan dua perempuan.

"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan nombor tidak dikenali serta hubungi rakan atau ahli keluarga di nombor asal untuk pengesahan," katanya.