“Hati-Hati Tafsir Kategori T20 & M40, Pendapatan RM13,000 Boleh Jatuh Ke M40 Bahkan B40” – Asyraf Wajdi

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 5:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Hati-Hati Tafsir Kategori T20 & M40, Pendapatan RM13,000 Boleh Jatuh Ke M40 Bahkan B40” – Asyraf Wajdi

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi petrol RON95 terhadap golongan berpendapatan tinggi termasuk kumpulan T15 dan T20.

Terang beliau, cadangan itu sedang diteliti oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu.

Malah, perkara itu turut dipersetujui penganalisis ekonomi seperti Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Hati-Hati Tafsir T20 & M40 – Pengerusi Mara

Terbaharu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta agar tafsiran kategori T20 dan M40 perlu dibuat dengan berhati-hati.

Ini kerana kebiasaannya ia tidak memberikan gambaran sebenar realiti tanggungan isi rumah itu sendiri.

Terang Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook, golongan sebegini boleh jatuh dalam kategori golongan M40 atau B40 bergantung kepada tanggungan sebenar.

“Hati-hati menafsir kategori T20 atau M40. Pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar seperti KL, anak 5 orang masih bersekolah dan universiti boleh jatuh ke M40, bahkan B40,” tulisnya.

MARA Teliti Setiap Perkara Sebelum Luluskan Pembiayaan

Jelas beliau, MARA mengambil kira setiap perkara termasuklah kategori sebegini sebelum pembiayaan diluluskan.

“MARA ambil kira semua ini sebelum luluskan pembiayaan. Contohnya apabila pasangan kedua-duanya guru dengan gaji RM6,500.

“Bila digabungkan menjadi pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar-bandar besar, anak 3 orang universiti atau kolej, 3 lagi anak bersekolah. Cuba kira perbelanjaan mereka?” jelasnya.

Hati-hati menafsir kategori T20 atau M40. Pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar seperti KL, anak 5 orang masih…

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Monday 11 May 2026

Terdahulu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat semakan semula terhadap pemberian subsidi bahan api kepada golongan kaya perlu dilaksanakan agar lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada mereka yang layak.

Jelasnya, semakan itu perlu dibuat memandangkan golongan terbabit mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar harga bahan api mengikut kadar yang ditetapkan dalam pasaran.

Pada masa yang sama, Mohd Afzanizam turut mencadangkan agar subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada RM1.99 seliter perlu dikekalkan.

Semalam (10 Mei), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik…

Posted by BuzzKini on Monday 11 May 2026

Cadangan ini juga pernah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meminta kerajaan untuk meneliti semula pemberian subsidi kepada T20.

Ia sebagai langkah untuk memperkukuh ekonomi negara dalam situasi yang tidak menentu pada ketika ini.

Sekadar info, berdasarkan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai ambang nasional bagi golongan T20 di Malaysia ditetapkan pada RM12,680.

Namun, angka tepatnya bergantung kepada sesebuah negeri sebagai contoh negeri Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai nilai ambang iaitu RM16,040 dan RM17,030 manakala Kelantan pula adalah RM7,000.

Jika dilihat daripada data ini, T20 di Kelantan adalah B40 di KL, Selangor dan Putrajaya.

Image from: “Hati-Hati Tafsir Kategori T20 & M40, Pendapatan RM13,000 Boleh Jatuh Ke M40 Bahkan B40” – Asyraf Wajdi

Baca Artikel Berkaitan: Gaji RM7,000 Sebulan Dah Tak Layak Dapat Subsidi RON95? Ini Penjelasan Rafizi [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Akan Hapuskan Pengkelasan Kategori B40, M40 dan T20 Mulai 2024

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Beri Bayangan Akan Henti Subsidi Pendidikan Buat Anak Orang Kaya