Pendapatan RM13,000, realiti mungkin M40 atau B40 di bandar besar - Asyraf Wajdi

LocalOpinion
12 May 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pendapatan RM13,000, realiti mungkin M40 atau B40 di bandar besar - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Tafsiran terhadap kategori pendapatan seperti teratas 20 (T20) dan pertengahan 40 (M40) perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira realiti kos sara hidup dan beban tanggungan yang ditanggung setiap keluarga.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 misalnya tidak semestinya menggambarkan keluarga itu berada dalam keadaan selesa, khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar besar dan mempunyai ramai anak yang masih belajar.

Menurut beliau, ada keluarga yang secara teknikal dikategorikan sebagai T20, namun realitinya boleh jatuh ke kelompok M40 atau bahkan golongan berpendapatan rendah (B40) selepas mengambil kira komitmen bulanan.

“Hati-hati mentafsir kategori T20 atau M40. Pendapatan isi rumah RM13,000 tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur dengan lima orang anak masih bersekolah dan di universiti boleh jatuh ke M40, bahkan B40.

“MARA mengambil kira semua ini sebelum meluluskan pembiayaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Asyraf Wajdi turut memberi contoh pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja sebagai guru dengan gaji masing-masing sekitar RM6,500 sebulan.

“Bila digabungkan menjadi pendapatan isi rumah RM13,000 dan tinggal di bandar-bandar besar, tiga orang anak di universiti atau kolej, manakala tiga lagi masih bersekolah, cuba kira perbelanjaan mereka?” soalnya lagi.