Hati-hati terhadap tawaran kerja luar negara: Jauteh

LocalPolitics
16 Mar 2025 • 9:29 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mardinah Jikur

SANDAKAN: Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan luar negara yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pencari kerja sebaliknya harus mengesahkan tawaran pekerjaan melalui agensi rasmi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memastikan kesahihannya.

“Rujukan itu penting agar pencari kerja tidak menjadi mangsa penipuan pekerjaan,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Warga IPD Sandakan, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Kontinjen Sabah, SAC Abdul Fuad Abdul Malek, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah dan Timbalannya, Supt Ramasamy Kuppan. Semasa majlis, sumbangan diberikan kepada mualaf, asnaf dan anak yatim piatu.

Berkenaan majlis itu, Jauteh berkata ia merupakan program Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyantuni semua warga IPD seluruh negeri ini.

"Ketika ini kita di Sandakan. Sebelum ini kami melawat Balai Polis Telupid dan turut menyampaikan sumbangan kepada petugas di balai berkenaan selain di pos pemeriksaan darat (RCP) Sapi Nangoh.”

Di Sandakan, pihaknya menyampaikan sumbangan kepada 26 penerima, termasuk sebuah keluarga warga IPD yang kini anak yatim piatu. Jauteh memberi jaminan pihaknya akan terus membantu adik-beradik yang masih belajar itu sehingga mereka boleh berusaha sendiri selepas tamat pelajaran mereka.