
Tragedi kebakaran saluran paip gas milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Jalan Harmoni Putra, Putra Heights pada pagi 2 Syawal nyata menggemparkan seluruh negara.
Insiden tersebut menyebabkan 538 mangsa terpaksa berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dengan ratusan rumah rosak teruk. Bukan itu sahaja, seramai 145 mangsa mengalami kecederaan dan ada yang masih dirawat di hospital.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi Selasa (1 April), api menjulang tinggi dan menghasilkan bahang panas dipercayai berpunca daripada kebocoran pada paip sepanjang 500 meter itu.
Isu yang berlaku menyebabkan timbul dakwaan berlakunya pencerobohan di rizab Petronas. Itu pun selepas tular perbualan WhatsApp mendakwa telah berlakunya kerja korek tanah berhampiran laluan paip gas beberapa bulan sebelum kejadian berkenaan.
Polis kemudiannya memaklumkan akan menyiasat punca sebenar kejadian kebakaran saluran paip gas itu.
Namun ada juga pengguna media sosial yang seolah-olah cuba menyalahkan Petronas dan meminta syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia itu bertanggungjawab dan membayar pampasan terhadap mangsa.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights
Baca Artikel Berkaitan: Projek Pembinaan Berhampiran Lokasi Kebakaran Paip Gas Putra Heights Ada Kelulusan – Datuk Bandar Subang Jaya
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: CIDB Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Selepas Dedah Siasatan Awal
Petronas tidak pandang remeh aspek integiri dan keselamatan
Terbaharu bekas Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir tampil mendedahkan penyelenggaraan rangkaian saluran paip gas Petronas di seluruh Malaysia dilaksanakan mengikut piawaian yang tinggi.
Malah beliau yang merupakan jurutera projek Petronas Gas Berhad (PGB) bagi pembinaan saluran paip gas termasuk di Putra Heights, Subang Jaya pada penghujung 80-an berkata, aspek integriti dan keselamatan antara perkara yang diutamakan oleh syarikat itu.
“Reka bentuk, ketebalan dan kualiti paip memang direka untuk bertahan lama kerana saluran paip ini tidak boleh ditukar setiap 10 tahun disebabkan kos yang besar. Oleh itu, jangka hayatnya boleh mencecah lebih 50 tahun.
“Hal ini juga telah terbukti di banyak negara lain, dengan syarat terdapat intervensi, penyelenggaraan, dan pemeriksaan yang dibuat secara berkala. Saya yakin Petronas telah mengambil langkah-langkah keselamatan tertinggi dalam memastikan keselamatan rangkaian paip gas di seluruh negara,” katanya dipetik Bernama.
Sentiasa laksanakan pigging untuk pantau sebarang deformasi
Tambah beliau lagi, kaedah ‘pigging’ biasanya dilakukan tiga ke empat bulan sekali bertujuan membersihkan saluran paip dengan menggunakan peralatan khas.
Ini bertujuan untuk memeriksa, “merekod” keadaan dalam saluran paip termasuk sebarang deformasi, halangan dan kebocoran.
“Semasa saya bertugas di Segamat dahulu, setiap bulan kami melakukan tinjauan menggunakan helikopter untuk memeriksa sama ada berlaku hakisan tanah atau tidak,” kata Syed Zainal Abidin lagi.
Penyaluran gas menerusi yang melalui kawasan penempatan adalah normal dan ada sebabnya
Tambah pesara Petronas itu lagi, kerja-kerja penyaluran gas bagi tujuan perindustrian dengan menggunakan saluran paip telah lama dilakukan dan ia adalah sesuatu yang normal bagi saluran tersebut untuk melalui kawasan perumahan.
Ini kerana terdapat zon penampan yang sudah ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya sebarang pencerobohan pada rizab laluan berkenaan.
“Orang ramai tidak dibenarkan memasuki kawasan ini tanpa kebenaran. Jika ingin melintas sekali pun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Petronas yang turut menetapkan syarat-syarat keselamatan tertentu,” tambahnya.
Mustahil saluran paip gas meletup tiba-tiba
Tegas beliau juga, adalah mustahil untuk saluran paip gas itu meletup secara tiba-tiba, terutama dengan tahap penyelenggaraan yang tinggi oleh Petronas.
“Jika paip itu pecah dengan sendirinya, ia amat mustahil. Berdasarkan sejarah letupan di negara lain, kebanyakan insiden berpunca daripada pencerobohan. Namun, bagi insiden ini, kita perlu menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.
“Dari segi keselamatan, orang ramai tidak perlu risau. Petronas menggunakan sistem pengesanan yang membolehkan sebarang kebocoran dikesan dari jauh. Namun, jika berlaku aktiviti penggalian di kawasan saluran paip tanpa kawalan, ia berada di luar kawalan Petronas,” katanya.
Sebagai info, panjang keseluruhan rangkaian saluran paip gas negara adalah kira-kira 800 kilomoter. Ia bermula di Kerteh, Terengganu namun turut melalui bahagian utara dan selatan tanah air termasuk Kedah, Johor dan Singapura.
Tulang belakang (backbone) utama rangkaian ini adalah Peninsular Gas Utilisation (PGU), sejenis saluran paip penghantaran bertekanan tinggi.


