
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar umat Islam sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
"Jangan kita terpesong dari tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Isnin.
Anwar berkata, peluang mengembara ke Makkah untuk menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Allah SWT kepada hamba-Nya selain mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam.
Katanya, namun harus diingat, haji mempunyai maqasid kerohanian yang tersendiri, bertujuan mengubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.
Menurutnya, ketika berihram dengan pakaian serba putih yang kosong, jemaah diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan, manakala segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.
"Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan," katanya.
Dalam pada meraikan kemeriahan Aidiladha, Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan golongan asnaf dengan berkongsi nikmat Tuhan dan membahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban.
Beliau turut mendoakan para jemaah yang kini berada di Makkah supaya beroleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!


