
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco, Ronnie Liu Tian Khiew untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali bagi menghayati makna Rukun Negara.
Titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook, langkah tersebut disarankan agar mereka menjadi rakyat yang menghormati kedaulatan Institusi Diraja dan menjaga adab kesopanan serta kesusilaan.
Sultan Sharafuddin Titah ADUN Selangor Kunjungi Dataran Selangor Untuk Fahami Rukun Negara
Dalam masa sama, baginda juga bertitah agar semua ADUN Selangor datang sendiri ke Dataran Selangor yang terletak di Kelab Shah Alam, Seksyen 13 setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen tersebut.
“Beta menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, beta sarankan datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, supaya menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Ternak Babi: “Seolah-olah Sengaja Derhaka” – Pemuda PAS Gesa Kerajaan Mohon Maaf Kepada Sultan Selangor
Harap Generasi Baru Hayati Prinsip Asas Rukun Negara – Sultan Selangor
Menerusi perkongsian Selangor Royal Office, baginda telah berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri plak monumen yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Titah baginda, plak monumen terbabit dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk yang disediakan untuk pengunjung dengan kos dibiayai baginda sepenuhnya.
“Dengan terbinanya Plak Monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara. Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini.
“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia.”
Baca Artikel Berkaitan: Full Stop! Sultan Sharafuddin Tak Berkenan Aktiviti Ternak Babi Di Selangor
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Babi Di Tanjong Sepat






