Teguran Sultan Selangor isyarat jelas perlu hormati institusi diraja - Ab Halim

LocalPolitics
19 May 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Teguran Sultan Selangor isyarat jelas perlu hormati institusi diraja - Ab Halim
Ab Halim berkata, titah Sultan Selangor wajar difahami sebagai peringatan serius agar tidak mengabaikan adab serta sempadan dalam menyatakan pandangan.

SHAH ALAM - Teguran khusus Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap dua ahli politik DAP dilihat sebagai isyarat jelas mengenai keperluan untuk memelihara batas kesopanan dan menghormati institusi diraja dalam wacana politik negara.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang menyeru rakyat negeri ini khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini hadir ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian.

Menurut beliau, titah baginda menzahirkan mesej bahawa Rukun Negara bukan sekadar hafalan atau simbol formaliti, sebaliknya merupakan panduan hidup yang perlu diterjemahkan dalam tingkah laku, pertuturan dan sikap setiap rakyat terutama mereka yang memegang mandat politik.

"Nasihat ini ditujukan secara khusus kepada kedua-dua individu berkenaan membawa makna tersirat yang besar sekali gus menunjukkan kenyataan atau pendirian sebelum ini dilihat telah melangkaui batas kesantunan terhadap institusi diraja.

"Dalam bahasa lebih mudah difahami masyarakat, ia memberi gambaran bahawa terdapat tindakan atau kenyataan yang dianggap menghampiri bentuk ketidakhormatan kepada institusi yang menjadi payung negeri dan negara," jelas beliau.

Ab Halim menegaskan, titah berkenaan disampaikan dengan penuh hikmah oleh seorang Raja Berperlembagaan yang walaupun lembut pada ungkapan, namun tegas pada mesej yang ingin disampaikan.

"Ia bukan sekadar nasihat biasa, tetapi wajar difahami sebagai peringatan serius kepada mana-mana pihak agar tidak mengabaikan adab serta sempadan dalam menyatakan pandangan,” katanya.

Tambah beliau, dalam sistem negara yang berteraskan Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan atau mencabar institusi yang menjadi tunjang kestabilan negara.

Sehubungan itu, Pas Selangor meminta semua pihak tanpa mengira latar politik supaya menjadikan titah Sultan Selangor sebagai panduan dalam memperkukuh budaya hormat, adab dan tanggungjawab dalam kehidupan bernegara.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Sultan Selangor menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi raja dan menjaga adab kesopanan.

Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.