
PENYANYI Shila Amzah berkongsi keadaan dirinya yang mengalami penyakit berkaitan darah iaitu talasemia.
Menerusi satu hantaran di Threads, pelantun lagu Patah Seribu itu mendedahkan hanya mengetahui keadaan tersebut selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dia berkongsi hal tersebut ketika menjawab perkongsian pengguna laman sosial berkaitan talasemia ketika hamil.

"Weh aku pula dah pregnant baru tahu katanya ada talasemia beta (pembawa). Sebab sepanjang hidup tak pernah pun ada masalah pitam atau darah rendah semua tu," titip pengguna wanita itu.
Sementara itu, Shila pula menerusi ruangan komen mendedahkan mewarisi trait berkenaan daripada sebelah bapanya.
“Sama. Ia genetik talasemia beta yang diwarisi daripada pihak keluarga sebelah bapa.
"Kakak bapa saya berkahwin dengan individu yang juga merupakan pembawa dan kelima-lima anak mereka menghidap talasemia," titip Shila.
Pemilik nama Nurshahila Amir Amzah itu juga berkata pada masa dahulu, kesedaran mengenai mengenai talasemia agak terhad.
"Selepas menjalani pemeriksaan penuh dengan doktor, barulah saya faham patutlah paras hemoglobin (Hb) saya sangat rendah, sekitar 7 g/dL.
"Tapi Sha boleh merasakan perubahan pada keadaan kesihatan, yang mana simptom seperti rasa hendak pitam semakin kerap berlaku selepas dua kali kehamilan.
"Kedua-dua kelahiran tersebut juga melibatkan pembedahan kecemasan (Caesarean). Oleh itu, doktor telah menasihatkan untuk tidak lagi hamil untuk kali ketiga,” titipnya.

Malah menurut Shila Amzah, sebelum menjalinkan hubungan serius dengan suaminya, Ubai, dia terlebih dahulu bertanya mengenai status talasemia.
“Ini perkara pertama saya tanya kepada Ubai. Ubai, awak ingat lagi tak sayang? Saya pulak pembawa talasemia,” kongsinya.
Sekadar info, penghidap talasemia secara asasnya akan menyebabkan anemia lantaran berlaku kekurangan oksigen yang perlu diangkut ke tisu dan organ.
Antara petanda-petanda awal anemia adalah seperti berkut:
1.Akan rasa pening.
2.Mudah letih dan rasa lemah badan.
3.Mudah rasa marah.
4.Berlaku kesukaran untuk bernafas atau sesak nafas.
5.Pesakit boleh pengsan.
6.Bagi kes yang teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan organ sehingga membawa maut.

