amree22/06/2026 - 13:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun — HE Group Berhad memperoleh subkontrak terbaharu yang bernilai kira-kira RM102 juta bagi melaksanakan pelbagai kerja elektrikal utama untuk sebuah pusat data (DC) di Johor.
Tender berkenaan jelasnya, diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd, terus daripada sebuah syarikat pengurusan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCM).
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, skop kerja melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja elektrikal utama bagi pembangunan projek DC tersebut.
"Nilai kontrak berkenaan adalah kira-kira RM102 juta, namun masih lagi tertakluk kepada sebarang perubahan, tambahan atau pengurangan kerja yang berdasarkan terma tender itu," kata HE Group.
Kenyataan syarikat tersebut turut menjelaskan, yang kontrak berkenaan mula berkuat kuasa pada 22 Jun 2026 dan projek berkenaan dijadualkan perlu disiapkan sepenuhnya menjelang 19 September 2027.
Kumpulan itu memaklumkan, syarikat EPCM berkenaan merupakan entiti milik asing yang berpangkalan di Malaysia serta terlibat dalam pembinaan, kejuruteraan awam serta minyak dan gas (O&G) luar pesisir.
Tambah HE Group lagi, selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan, tiada risiko material lain yang dijangka timbul daripada subkontrak baharu diperoleh tersebut.
"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dan tidak memberi kesan terhadap modal saham serta pegangan saham pemegang saham utama HE Group," katanya.
Lembaga pengarah berpandangan penerimaan subkontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan dimeterai dalam urusan perniagaan biasa tanpa memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com






