HEB isytihar dividen lebih tinggi 1.46 sen pada FY24 selepas untung bersih naik 23%

22/04/2025 - 15:19
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 22 April — HSS Engineers Berhad (HEB) mengisytiharkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.46 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), iaitu lebih tinggi berbanding 1.21 sen sesaham sebelumnya pada 31 Disember 2023 (FY23).
Firma perunding kejuruteraan dan pengurusan projek yang diwujudkan pada 2015 itu berkata, pembayaran dividen dianggarkan sebanyak RM7.4 juta atau kira-kira 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) FY24 selaras dengan dasar dividen tahunan yang disasarkan.
Ia bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kumpulan pada 11 Jun 2025 dan pembayaran dividen terbesar kali ini mencerminkan keputusan kewangan HEB dengan keuntungan bersih meningkat 23 peratus kepada rekod tertinggi.
"Hasil kumpulan sebanyak RM25.2 juta pada FY24 berbanding RM20.4 juta pada FY23 dan prestasi yang lebih baik itu didorong oleh kehadiran HEB semakin berkembang di pasaran antarabangsa meliputi sektor-sektor baharu muncul," katanya dalam satu kenyataan.
Naib Pengerusi Eksekutif HEB, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata, pihaknya gembira memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen yang lebih tinggi sambil meraih keuntungan kewangan semakin meningkat susulan kehadiran serantaunya dan liputan pelbagai sektor.
"Keuntungan bersih yang bersejarah pada kali ini turut mencerminkan tahap tinggi kekuatan perkhidmatan kejuruteraan kami sebagai cukup mahir, serta dapat digunakan dengan baik untuk projek transformasi merentasi pelbagai industri dan negara," kata beliau lagi.
Melihat ke hadapan jelasnya, HEB menyasarkan untuk mengekalkan momentum pendapatan dan berharap mengulangi peranan utama kumpulan tersebut dalam sektor pengangkutan serta projek berkaitan air sambil mempercepatkan penglibatan menerusi beberapa segmen baharu.
Antaranya kata beliau, ialah pusat data, rumusan dron berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) namun pada masa sama, tetap teguh dalam meneruskan strategi pengembangan global meliputi projek infrastruktur untuk meningkatkan daya saing negara.
"Memandangkan ketangkasan dan rekod prestasi kami yang luar biasa, HEB sudah bersedia bukan sahaja untuk peranan yang lebih besar terutama di pasaran luar negara, tetapi merangkumi aspek kedudukan kewangan lebih kukuh,” kata Kuna dalam kenyataan tersebut.
Pada 31 Disember 2024, buku pesanan kumpulan itu berjumlah RM2.1 bilion, iaitu yang terbesar dalam sejarah dan akan dibilkan secara progresif dalam tempoh lapan tahun akan datang serta termasuk kontrak baharu pada FY24 sebanyak lebih RM900 juta.
Kejayaan ketara tahun lepas meliputi projek Westport 2 Expansion Development Fasa 1, dua projek pusat data baharu di Johor, Lebuhraya Phnom Penh-Bavet di Kemboja, dan kontrak terbesar kumpulan iaitu pembinaan tren Baghdad Metro di ibu negara Iraq.
Kumpulan itu juga sedang giat mengejar lebih banyak peluang dalam sektor infrastruktur, dengan buku tender bernilai RM504 juta melipti projek merentasi lebuh raya, jalan raya, rel, pelabuhan, infrastruktur air, pusat data dan RE. - DagangNews.com
standard
