HeiTech Padu terima kontrak RM29.7 juta daripada KPDN bagi projek keselamatan ICT
diyana
01/11/2023 - 17:48
KUALA LUMPUR 1 Nov - HeiTech Padu Berhad telah menerima kontrak bernilai RM29.7 juta daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pemantapan dan pengukuhan keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kementerian tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, surat anugerah (LOA) yang diterima pada 31 Oktober itu adalah bagi tempoh 36 bulan atau tiga tahun bermula dari 1 November 2023 hingga 31 Oktober 2026.
“Kontrak ini adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya sehingga kontrak selesai,” katanya.
Saham HeiTech Padu ditutup kekal pada 60.5 sen pada hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM61.2 juta. Saham syarikat telah merosot 31.6% setakat tahun ini. - DagangNews.com

