Helah tukar-tukar penghantar diesel haram terbongkar

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 5:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Helah tukar-tukar penghantar diesel haram terbongkar
Mohd Sabri (kiri) menunjukkan rampasan barang kes dalam serbuan di sebuah stor di Sungai Buloh pada Rabu.
Image from: Helah tukar-tukar penghantar diesel haram terbongkar
Tiga ditahan dalam serbuan melibatkan sindiket seleweng diesel di Sungai Buloh pada Rabu.
Image from: Helah tukar-tukar penghantar diesel haram terbongkar
Sebuah stor penyimpanan diesel secara tidak sah di Sungai Buloh diserbu KPDN Kuala Lumpur pada Rabu.

SUNGAI BULOH - Taktik sindiket penyelewengan diesel menggunakan individu berbeza pada setiap peringkat penghantaran, kononnya bagi mengelirukan pihak berkuasa, digagalkan pada Rabu.

Kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur di sebuah stor penyimpanan diesel haram di sini.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sindiket itu dipercayai memperoleh diesel dari stesen minyak di sekitar Lembah Klang sebelum dikumpulkan di stor berkenaan untuk dipindahkan ke lokasi lain dan dijual kepada pelanggan industri di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, bagi mengaburi kegiatan terbabit, setiap peringkat penghantaran dikendalikan oleh individu yang berbeza.

**media[3583416]**

"Individu pertama mengisi diesel di stesen minyak sebelum meninggalkan kenderaan bersama kuncinya untuk diambil oleh individu lain.

"Kenderaan kemudian dibawa ke stor bagi memindahkan diesel sebelum individu lain pula menghantarnya ke lokasi rahsia.

"Selepas itu, individu berbeza akan membawa diesel berkenaan untuk dijual kepada pelanggan industri," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Tambahnya, pemeriksaan di premis stor terbabit membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

**media[3583419]**

Beliau berkata, seorang suspek lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, manakala dua lelaki warga Bangladesh merupakan penjaga stor.

Katanya, premis itu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan diesel tanpa kebenaran yang sah.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit dibayar RM100 bagi setiap trip, dengan melakukan dua trip sehari dan bekerja lima hari seminggu.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM265,000, melibatkan sitaan sebuah lori tangki, dua lori bonded satu tan, tujuh tangki jenis IBC (Intermediate Bulk Container), tujuh hos dan paip, dua pam diesel serta 9,000 liter diesel," ujarnya.

Tegasnya, siasatan turut tertumpu kepada usaha mengenal pasti dalang serta rangkaian yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved