Hening Rindu Dijulang Juara AJL 39

EntertainmentMusic
17 Feb 2025 • 10:55 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Marsha Milan - Gambar X

Marsha Milan mengejutkan ramai apabila lagu nyanyiannya 'Hening Rindu' dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan penyanyi ini membawa pulang wang tunai RM100,000 bersama trofi utama.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatana ini merupakan runut bunyi untuk drama TV3 yang menjadi fenomena, 'Aku Bukan Ustazah'. 

Tempat kedua dimenangi oleh lagu 'Bukan Lagi Kita' oleh Nadeera membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Untuk tempat ketiga, ia jatuh kepada 'Saksama' nyanyian Akim & The Majistret yang memperoleh RM30,000 serta trofi.

Kategori Vokal Terbaik dimenangi oleh Ernie Zakri menerusi lagu 'Aura', yang membawa pulang RM12,000 dan trofi. 

Sementara itu, Aina Abdul yang mendapat undian tinggi menerusi sistem undian dalam talian yang dijalankan oleh TV3 dinobatkan sebagai pemenang trofi Persembahan Terbaik setelah berjaya menampilkan persembahan luar biasa dengan lagu 'Puas Sudah'.

Lagu-lagu lain yang bersaing di AJL 39 termasuklah 'Sengaja' (Amir Masdi),  'Diam' (Hael Husaini), 'Pujaanku' (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz), 'Risiko' (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique), serta 'Terus Bersinar' (Hafiz Suip).

Kesemua persembahan 10 finalis AJL 39 dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Fauziah Latif, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Datuk Ahmad Izham Omar, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar dan Edry Abdul Halim sebagai ketua juri.

AJL yang sudah hampir empat dekad penganjurannya, terus bertujuan untuk memartabatkan industri muzik tanah air, terutama dalam memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik. 

Acara muzik tahunan yang sering ditunggu-tunggu oleh peminat muzik ini AJL 39 memilih tema 'Nada Rasa' tahun ini dikendalikan oleh Naz Ahmad dan Sissy Imann sebagai hos. - Getaran, 17 Februari 2025