Henry Golding Jemputan Khas Majlis Penulisan Diraja Di London

LocalEntertainment
25 Nov 2026 • 4:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Henry Golding Jemputan Khas Majlis Penulisan Diraja Di London

Pelakon kelahiran Sarawak, Henry Golding, antara lima tetamu khas yang dijemput membaca karya pemenang Pertandingan Penulisan Komanwel Queen 2026 di London, baru-baru ini.

Golding menghadiri majlis resepsi yang dianjurkan oleh Permaisuri Camilla di Istana St James pada 20 November lalu, bersama empat pembaca jemputan lain bagi meraikan bakat penulis muda dari seluruh negara Komanwel.

Menerusi hantaran di Instagram, Golding menyifatkan jemputan itu sebagai satu penghormatan selain memuji bakat dan semangat peserta pertandingan berkenaan.

“Lima pemenang utama diterbangkan ke London untuk bertemu Seri Paduka Baginda dan mendapat inspirasi menerusi lawatan selama seminggu bagi menyemarakkan minat mereka terhadap penulisan.

“Alangkah menginspirasikan kumpulan penulis muda yang hebat ini,” katanya.

Pertandingan anjuran Royal Commonwealth Society itu merupakan pertandingan penulisan antarabangsa untuk sekolah paling lama di dunia yang diperkenalkan sejak 1883.

Edisi tahun ini mencatatkan rekod penyertaan sebanyak 53,840 karya daripada 54 negara dengan tema Common Ground: Better Together.

Dalam perkembangan lain, kemunculan Golding pada majlis berkenaan hadir menjelang kemunculannya semula sebagai Nick Young menerusi siri televisyen Crazy Rich Asians terbitan HBO.

Penglibatannya dalam siri lapan episod itu telah disahkan, dengan penggambaran dijadualkan bermula pada 2027.

Golding bakal bergandingan semula dengan Constance Wu dan Ronny Chieng, manakala Michelle Yeoh turut kembali menerusi watak berulang.

Siri berkenaan menyusuli kejayaan filem Crazy Rich Asians pada 2018 yang melonjakkan nama Golding ke persada antarabangsa dan menjadi antara titik penting dalam perjalanan kerjaya lakonannya. - Getaran, 25 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved