Henti Kecaman, Saya Dengan Nakano Baik-Baik Sahaja – Shah Firdaus

14 Aug 2024 • 1:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

SEPANG, 14 Ogos (Bernama) — Tindakan netizen menyerang akaun media sosial pelumba Jepun Shinji Nakano mampu menjejaskan hubungan baik pelumba berbasikal trek lelaki negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan rakannya itu.

Shah Firdaus berkata perbuatan itu juga disifatkan memalukan apatah lagi apabila Nakano ada menghantar pesanan kepadanya memaklumkan tidak menyangka mendapat kecaman kerana menganggap rakyat Malaysia adalah “baik-baik belaka”.

Atlet berasal dari Muar, Johor itu berharap agar orang ramai menghentikan kecaman berkenaan kerana beliau sudah berjumpa dengan Nakano memohon maaf atas pelanggaran yang berlaku pada perlumbaan pusingan akhir acara keirin yang menyebabkan rakannya itu mengalami kecederaan patah bahu.

“Nakano mesej saya, saya tengok sudah berpuluh ribu komen, saya harap netizen berhenti buat benda itu sebab ia memang menjejaskan kami. Dalam keirin, body contact itu biasa, saya dengan Nakano baik-baik sahaja.

“Nakano kata dia ingat rakyat Malaysia baik, (bagaimanapun) akaun TikTok yang mengatakan Nakano minta maaf adalah palsu,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Paris semalam.

Pada aksi final keirin lelaki Ahad lepas, menyaksikan Shah Firdaus terjatuh akibat insiden pelanggaran yang menyebabkan beliau disingkirkan.

Beliau ketika itu sedang memecut untuk menuju garisan penamat dirempuh Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, Paris.

Sumber: BERNAMA