Henti tuding jari, dadah sintetik ancaman negara perlu diperangi bersama - MCCC

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 8:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Henti tuding jari, dadah sintetik ancaman negara perlu diperangi bersama - MCCC
Daniel Khoo

SHAH ALAM – Ancaman penyalahgunaan dadah sintetik yang semakin meruncing tidak lagi boleh ditangani dengan budaya saling menyalahkan antara kerajaan, agensi penguat kuasa atau mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia memerlukan komitmen dan tindakan bersepadu seluruh masyarakat bagi membendung penularannya sebelum mengancam keselamatan negara dengan lebih serius.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, peningkatan kes membabitkan individu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sintetik sehingga mencetuskan pelbagai insiden jenayah dan mengancam keselamatan awam membuktikan isu itu memerlukan tindakan segera.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memperhebat usaha mengekang kemasukan serta pengedaran dadah sintetik yang kini dipasarkan dalam pelbagai bentuk termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin mudah diperoleh.

"Dalam isu ini, semua pihak perlu berganding bahu bermula daripada pendidikan awal di rumah, diikuti sekolah, penguatkuasaan dan proses pemulihan.

"Kerajaan juga perlu menjadikan usaha memerangi dadah sebagai agenda utama negara dengan tindakan menyeluruh melibatkan pembekal, pengedar hinggalah penagih sendiri," katanya kepada media pada Rabu.

Beliau berkata, MCCC senada dengan gesaan Tan Sri Lim Lam Thye agar kerajaan menjadikan ancaman dadah sintetik sebagai agenda nasional yang memerlukan tindakan lebih tegas dan menyeluruh.

Menurutnya, penyalahgunaan dadah bukan sahaja memusnahkan masa depan individu, malah memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan sosial, ekonomi dan pembangunan negara.

"Ramai penagih, khususnya dadah sintetik, mengalami kerosakan fungsi otak sehingga berdepan masalah kesihatan mental.

"Keadaan itu turut memberi tekanan emosi kepada ahli keluarga, terutama pasangan dan anak-anak.

"Ia akhirnya menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan, peningkatan keganasan rumah tangga, pengabaian anak serta perceraian," katanya.

Daniel berkata, dari sudut ekonomi pula, negara kehilangan tenaga kerja produktif yang sepatutnya menyumbang kepada pembangunan, selain terpaksa menanggung kos tinggi bagi rawatan, pemulihan dan pengurusan institusi penjara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membanteras dadah memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi penguat kuasa, kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta masyarakat.

Katanya, pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan secara holistik, bukan sahaja di peringkat dasar, malah sehingga ke peringkat komuniti dan kawasan kejiranan.

"Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menuding jari. Sebaliknya, semua pihak perlu memainkan peranan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membanteras dadah secara menyeluruh demi melindungi masa depan negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved