
PUTRAJAYA- Kesilapan yang berulang membabitkan pengurusan sumber manusia dalam sektor awam perlu dihentikan dengan mengenal pasti dan menangani punca sebenar, bukan sekadar menyelesaikan isu di peringkat proses.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kemampuan sesebuah sistem pentadbiran perlu dinilai secara jujur, termasuk melihat sama ada kesilapan sama masih terus berulang.
“Ukuran paling asas terhadap kualiti sesebuah sistem ialah sama ada kesilapan yang sama masih terus berulang. Jika ia berulang, itu menandakan puncanya belum ditangani,” katanya ketika berucap sempena Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesilapan dalam urusan pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib dan pengurusan prestasi tidak seharusnya dijadikan kebiasaan.
Jelasnya, kes yang kelihatan kecil pada peringkat proses berupaya memberi impak besar kepada pegawai serta kredibiliti organisasi.
“Kesilapan berulang bukan lagi kes terpencil, sebaliknya ia menandakan kelemahan sistemik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2024 telah melaksanakan 61 program khidmat rundingan di peringkat kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri menerusi sesi libat urus, penyelesaian kes secara langsung serta perkongsian dasar terkini.
Katanya, persidangan tahun ini turut membawakan pendekatan lebih interaktif melalui Sesi Bicara Berimpak Tinggi dan Klinik Perkhidmatan Awam yang diharapkan dapat menjadi pusat sehenti bagi penyelesaian masalah perkhidmatan menerusi kaedah Case Clinic.
“Melalui platform ini, saya berharap ia bukan sekadar menjadi ruang wacana semata-mata, malah mampu memberi manfaat sepenuhnya sebagai pusat sehenti bagi penyelesaian masalah perkhidmatan melalui kaedah Case Clinic.
“Sebanyak 34 kaunter pakar sumber manusia melibatkan enam urusan utama turut disediakan merangkumi aspek perkhidmatan, organisasi, modal insan, saraan, pencen serta kesejahteraan holistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Hentikan kesalahan berulang, selesaikan punca – KPPA appeared first on Kosmo Online.



