
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghentikan kontroversi berhubung dakwaan pembekalan diesel kepada Filipina kerana perkara tersebut tidak benar.
Menurut Perdana Menteri, syarikat yang membekalkan bahan api kepada negara berkenaan bukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebaliknya syarikat perdagangan komoditi asing iaitu VITOL.
"Dia (VITOL) memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita (Petronas) bagi (bekal) kepada Filipina. Tetapi kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak (milik) orang dalam perjanjian asing.
“Saya harap hentikanlah kontroversi ini, dan tumpukan untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Terengganu, hari ini.
Media Filipina baru-baru ini melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina bagi menambah bekalan bahan api negara itu ketika ketidaktentuan pasaran global.
Menurut laporan itu, penghantaran tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac.
Bagaimanapun Petronas menegaskan pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.
“Keutamaan utama Petronas kekal memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk Malaysia, melalui penyelarasan rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan,” kata syarikat minyak nasional itu.
Sementara Pasukan Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut menafikan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini berasal dari Malaysia.
MTEN turut menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta merujuk kepada sumber rasmi kerajaan. - 13 April, 2026
The post Hentikan kontroversi bekal diesel ke Filipina: Anwar appeared first on Scoop.






