
Sudah tiba masanya kita berhenti berpura-pura.
Rakyat sekali lagi sedang dipermainkan. Bukan oleh kuasa luar, bukan oleh musuh asing, tetapi oleh mereka yang kita gelar pemimpin. Mereka ini terdiri daripada beberapa lelaki dan wanita yang lebih rela melihat negara ini retak dan musnah, asalkan kuasa tetap dalam genggaman masing-masing. Mereka menyelubungi diri dengan jubah agama dan kebanggaan kaum—bukan kerana keikhlasan, tetapi kerana mereka tahu ia mampu membakar emosi, mencetuskan ketakutan dan membina kesetiaan yang membabi-buta.
Inilah helah paling lama dalam politik: memperalatkan identiti. Bisikkan kepada majoriti bahawa mereka sedang diancam. Tuding jari kepada minoriti atas kelembapan ekonomi, rasuah, jenayah—malah kerana “bernafas dengan cara berbeza”. Lukiskan agama sebagai rapuh dan sentiasa terancam. Dan akhirnya, tunggang gelombang paranoia itu ke peti undi.
Dan ramai antara kita—termakan lagi. Seperti selalu.
Kini kita ada seorang perdana menteri yang sedang mencuba. Beliau berdepan cabaran luar biasa—memimpin sebuah kerajaan yang penuh dengan pelbagai pandangan dan kepentingan. Namun beliau tetap berusaha menggerakkan negara ke hadapan. Ya, ada kesilapan. Tapi adakah adil mengharapkan keajaiban semalaman untuk membetulkan kerosakan lebih 30 tahun? Kita perlu akur dengan realiti dan mula bekerja bersama untuk pembaharuan yang tulen. Dan ia mesti bermula dengan diri kita sendiri. Kita gemar menuntut dan menjerit, tetapi terlalu sedikit yang benar-benar mahu berganding bahu dalam penyelesaian sebenar. Udara panas mungkin berguna di negara sejuk, tetapi Malaysia ini negara tropika.
Saya menulis secara terus terang, kerana Malaysia tidak lagi mampu bertahan dengan diplomasi bersalut manis. Kita kini berada di tepi jurang. Negara yang pernah menjadi contoh kemajuan berbilang kaum sedang dihimpit risiko kehancuran akibat perpecahan suku, semata-mata kerana ada segelintir manusia yang tidak dapat menerima hakikat bahawa masa mereka sudah berlalu. Dan yang lain pula melihat permainan jijik ini sebagai jalan pintas untuk kekal relevan.
Ingatlah: ini bukan krisis kaum atau agama. Ini adalah krisis maruah, nilai dan jiwa kepimpinan.
Ya, semua kaum dan agama ada peranan dalam kekusutan ini. Tetapi sebagai majoriti, tanggungjawab terbesar tetap terletak di bahu anda. Pelakon-pelakon politik ini—yang mendakwa mereka “mewakili Melayu”, “mewakili Cina”, “mewakili Islam”—bukan pembela. Mereka adalah pemangsa. Mereka memburu ketakutan, mengeksploitasi jurang pendidikan, ketidaksamaan ekonomi dan luka sejarah kita. Dan lebih parah, mereka melaungkan nilai yang mereka sendiri tidak amalkan.
Mereka menjeritkan soal moral tetapi pada masa sama, menjarah duit rakyat.
Mereka menuduh orang lain korup, sedangkan dana mereka sendiri bergelumang wang haram.
Mereka melaungkan perpaduan, tapi berdamping dengan pelampau dan perkauman di belakang tabir.
Ini bukan sekadar hipokrasi. Ini pengkhianatan terhadap jiwa Malaysia.
Sejak kecil saya diajar bahawa kepimpinan sejati adalah tentang mengangkat orang lain. Bahawa kuasa itu satu amanah untuk berkhidmat. Bahawa kaum, agama dan kekayaan itu hak peribadi, tetapi keadilan dan kemanusiaan adalah hak semua. Itulah prinsip ayah saya—seorang penjawat awam yang berintegriti, yang berdiri bersama tokoh seperti Tun Dr Ismail, Tun Raja Mohar, Tan Sri Khir Johari, Tun Sambanthan dan Tan Sri Tan Chee Khoon. Mereka meninggal dunia tanpa jutaan dalam akaun, tetapi dengan maruah yang kekal sampai kini. Dan saya lihat legasi mereka hidup bukan pada nama bangunan, tetapi pada wajah rakyat biasa yang masih percaya pada impian Malaysia.
Kita tidak sedang hancur kerana kita berbilang kaum. Kita sedang sesak kerana terlalu ramai pemimpin sudah muflis nilai.
Mereka tidak cintakan Islam—mereka cintakan kawalan yang datang apabila Islam diperalatkan.
Mereka tidak cintakan orang Melayu—mereka cintakan modal politik yang datang apabila Melayu dijadikan perisai.
Dan mereka tidak cintakan Malaysia. Bukan dengan cinta yang sanggup berkorban.
Perpaduan bukanlah menyamaratakan semua. Ia adalah memilih untuk berdiri bersama, walaupun berbeza. Tetapi perpaduan itu menuntut keberanian moral. Dan itulah perkara paling sukar dicari hari ini.
Saya telah melihat permainan ini berulang di negara lain—di Indonesia, Sri Lanka, Afrika. Bila identiti dijadikan senjata politik, hasil akhirnya sentiasa sama: darah, institusi yang hancur, generasi yang hilang. Malaysia tidak terkecuali. Kita tidak kebal.
Tetapi kita masih belum kalah.
Masih ada pemimpin tulen yang sedang bangkit—anak muda dari semua kaum yang menolak untuk mewarisi kebusukan politik lama. Masih ada institusi yang boleh diperbaiki—jika kita memilih pembaharuan dan menolak dendam.
Kita mesti berhenti beri ruang, kuasa dan mikrofon kepada si pembakar.
Kita mesti berhenti membenarkan khutbah yang diselindungi politik dan politik yang diselindungi khutbah.
Kita mesti berhenti berdiam diri apabila si pengecut menjerit paling kuat. Kerana dalam senyap, tikus-tikus yang paling nyaring mencicit.
Dan yang paling penting: Malaysia ini bukan milik satu kaum, satu agama, atau satu “dewa politik”. Negara ini adalah rumah kita semua.
Kalau anda benar-benar cintakan tanah air ini, hentikan permainan kotor ini. Bersuara. Bangkit. Undi dengan waras. Tolak kebencian—tidak kira jubah atau bahasa apa yang digunakannya.
Kita lebih baik daripada ini.
Dan kita mesti mula bertindak seperti itu—sebelum impian ini benar-benar terkubur.
Malaysia Boleh. Malaysia Mesti. - Getaran, 4 Jun 2025

![Ramai Puas Hati Lihat Bezza Halang Kereta Singapura Memotong Di Lorong Kecemasan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)



