
PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua serangan terhadap kawasan awam dihentikan serta-merta termasuk sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian Tanah Suci susulan insiden sebuah dron dipintas berhampiran Mekah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak yang terlibat harus memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian tanpa berlengah.
“Saya mengikuti laporan mengenai sebuah dron yang berjaya dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah. Sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci umat Islam ini tidak boleh diterima sama sekali.
“Insiden ini sekali lagi mengingatkan kita akan keperluan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan yang lebih meruncing di rantau tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menzahirkan dukungan Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi serta menghargai tindakan pantas yang diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan para jemaah di Mekah terpelihara. – UTUSAN
The post Hentikan segera serangan terhadap Tanah Suci – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Serangan dron ke Mekah dipatahkan, jemaah umrah selamat – PU Rahmat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/dc9c72ee-7d6b-4c43-b6dd-50b18e33db9b-1024x766.jpeg)

