
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci umat Islam tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau berkata, Malaysia menzahirkan dukungan kepada kerajaan Arab Saudi dan menghargai tindakan pantas yang diambil dalam memastikan keselamatan penduduk dan jemaah di Mekah terus terpelihara.
“Saya mengikuti laporan mengenai sebuah dron yang berjaya dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah.
“Insiden ini sekali lagi mengingatkan kita akan keperluan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan yang lebih meruncing di rantau tersebut,” katanya dalam hantaran di laman X, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menyeru agar segala serangan terhadap kawasan awam dihentikan serta-merta, termasuk sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian tempat-tempat suci.
“Semua pihak yang terlibat harus memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian tanpa berlengah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Cubaan ancam keselamatan Tanah Suci tidak boleh diterima – Anwar appeared first on Kosmo Online.






