Hentikan sikap berlembut dengan syarikat asing, sokong pengendali e-hailing tempatan: kumpulan pemandu

LocalPolitics
27 Jul 2025 • 4:04 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa membenarkan syarikat e-hailing Maxim dan InDrive terus beroperasi di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan susulan ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP), telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu e-hailing tempatan.

Perkara berkenaan disuarakan oleh Persatuan Pemandu E-hailing Utara (NeHDA) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) baru-baru ini kerana membenarkan kedua-dua syarikat dari Rusia itu beroperasi meskipun telah melanggar syarat EVP.

Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, sikap berlembut terhadap syarikat yang melanggar undang-undang Malaysia boleh menjejaskan integriti sistem pengangkutan awam negara.

“Kami tidak akan berdiam diri apabila syarikat asing yang terbukti melanggar syarat EVP dibenarkan terlepas begitu sahaja, sedangkan syarikat tempatan yang patuh dikenakan sekatan dan keperluan pematuhan yang lebih ketat,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Zabidi Bahador, Gambar media sosial, 27 Julai, 2025

Beliau menegaskan dengan membenarkan syarikat itu terus beroperasi meskipun selepas EVP tamat tempoh bukan isu teknikal sebaliknya merupakan perlanggaran undang-undang yang nyata.

“Ketika syarikat asing diberi kelonggaran untuk beroperasi di bawah pemantauan khas, pengendali e-hailing tempatan pula bergelut untuk terus relevan dan perlu mematuhi semua garis panduan. Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan segera,” tambahnya.

Pada April lalu, Apad telah mengeluarkan notis pembatalan kepada Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive), berkuat kuasa 24 Julai, susulan audit pematuhan yang mendapati kedua-dua syarikat itu melanggar peraturan kerana membenarkan pemandu beroperasi tanpa EVP yang sah.

Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.

Pada 23 Julai, Apad mengumumkan Maxim dan InDrive dibenarkan untuk terus beroperasi di bawah pemantauan selama tiga bulan selepas rayuan mereka terhadap Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) berjaya.

Dalam pada itu, Zabidi turut menuntut agar Apad menguatkuasakan peraturan secara adil dan telus tanpa mengira asal-usul syarikat serta menggesa dasar menyokong EHO tempatan yang bersikap proaktif dan berintegriti.

Beliau juga meminta kerajaan menghentikan kebergantungan terhadap pemain asing yang melanggar undang-undang sambil menekankan kepentingan ‘memelihara kedaulatan sistem e-hailing negara’.

“NeHDA percaya industri e-hailing boleh berkembang secara lestari dan beretika jika sokongan diberikan kepada syarikat yang benar-benar membela pemandu serta kepentingan negara. Kami akan terus bersuara demi memastikan industri ini tidak tunduk kepada kuasa asing yang melanggar undang-undang,” kata Zabidi.

Adakah strategi geo ekonomi sedang dimainkan? 

Keputusan pihak berkuasa ini menimbulkan persoalan sama ada langkah Malaysia adalah sebahagian daripada strategi geopolitik yang lebih luas untuk mengekalkan hubungan dengan Rusia. 

Seorang pakar ekonomi, Samirul Ariff Othman percaya perkara ini “sangat berkemungkinan.”

Bercakap kepada Scoop, Samirul berkata diplomasi ekonomi kini semakin digunakan sebagai alat penyelarasan strategik, terutama selepas Malaysia menyertai BRICS.

“Rusia sebagai ahli pengasas BRICS mungkin melihat pengharaman sepenuhnya terhadap syarikat berkaitan teknologi mereka walaupun wajar dari segi penguatkuasaan, sebagai satu isyarat bermusuhan, khususnya dalam era multipolar yang menyaksikan pakatan ekonomi membentuk kerjasama bukan-Barat secara strategik.

“Membenarkan Maxim dan InDrive untuk terus beroperasi dengan syarat pemantauan ketat adalah satu kompromi terkalibrasi. Ini menunjukkan Malaysia tidak menutup mata dalam pelanggaran tetapi juga mementingkan kestabilan geoekonomi dan kesinambungan diplomatik,” katanya.

image is not available
Samirul Ariff Othman. - Gambar media sosial, 27 Julai, 2025

Samirul mengingatkan pengusiran syarikat-syarikat ini boleh mengundang tindakan balas terhadap syarikat berkaitan Malaysia di luar negara, atau mencetuskan ketegangan diplomatik iaitu sesuatu yang mungkin mahu dielakkan oleh Malaysia di tengah-tengah hubungan perdagangan global yang rapuh serta peralihan ke arah aliran modal BRICS.

“Walaupun penguatkuasaan peraturan masih dikekalkan, keputusan ini berkemungkinan mencerminkan usaha Malaysia untuk mempamerkan ‘kematangan kawal selia’ dan bukannya tindakan menghukum secara mendadak terutamanya terhadap syarikat dari rakan strategik seperti Rusia,’’ katanya.

Memberi peluang kedua, katanya, kepada syarikat asing mungkin wajar bagi mengekalkan hubungan antarabangsa, tetapi hanya jika peluang itu disertai dengan pematuhan ketat dan kawalan risiko yang jelas.

“(Namun) dari sudut integriti penguatkuasaan, ini mewujudkan satu duluan berisiko: iaitu membenarkan pelanggaran besar – seperti pemandu tidak berlesen – diselesaikan secara post-facto, yang boleh menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh luar terhadap penguatkuasaan peraturan,” katanya.

Samirul menegaskan peluang kedua tidak seharusnya berubah menjadi budaya pengampunan dan mengingatkan pihak berkuasa perlu mengelakkan persepsi bahawa syarikat asing diberi lebih kelonggaran berbanding syarikat tempatan.

“Ini boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi dan membenarkan tekanan komersial atau lobi diplomatik mempengaruhi keputusan kawal selia.

“Justeru, walaupun keputusan ini kelihatan pragmatik dari sudut strategik, tanggungjawab kini terletak pada Maxim dan InDrive untuk membuktikan pematuhan berterusan, atau berdepan tindakan penamatan tegas selepas tempoh pemantauan tiga bulan tamat,'' katanya. - 27 Julai, 2025