Penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang, bakal memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu kenyataan di media sosial. Beliau turut berkongsi bahawa penyanyi lagu popular Berdiri Bulu Romaku itu akan membuat persembahan secara percuma.
“Saya menerima panggilan telefon daripada sahabat lama saya, Ibu Hetty Koes Endang, bersama suaminya. Dengan penuh rasa hormat dan mesra, mereka menyatakan keinginan untuk hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Lebih menggembirakan, Ibu Hetty juga sudi untuk menyumbangkan beberapa buah lagu di majlis tersebut tanpa sebarang bayaran — satu penghargaan yang amat kami hargai,” katanya.
Mohamad Sabu turut berkongsi bahawa hubungan persahabatan antara keluarganya dan keluarga Hetty telah lama terjalin.
“Bagi yang mungkin belum mengetahui, hubungan persahabatan antara keluarga kami telah terjalin sekian lama. Setiap kali saya berkunjung ke Jakarta, rumah beliau akan menjadi tempat persinggahan saya. Begitu juga apabila beliau berada di Kuala Lumpur, rumah kami pula menjadi tempat beliau bertamu.
“Begitulah eratnya ukhuwah yang terjalin antara kami sekeluarga. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Hetty dan suami atas keikhlasan dan kesudian mereka untuk bersama-sama memeriahkan majlis nanti,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini majlis Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjadi perhatian susulan kehadiran artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza tampil menjelaskan bahawa kehadirannya ke majlis tersebut adalah atas jemputan, dan beliau membuat persembahan secara sukarela tanpa menerima sebarang bayaran sebagai tanda penghargaan kepada warga KKM.
The post ‘Hetty Koes Endang hiburkan Majlis Aidilfitri KPKM tanpa bayaran’ – Mohamad Sabu appeared first on The Reporter.




