HI Mobility teroka teknologi autonomi, AI bersama institusi di bawah Kementerian Pengangkutan China

LocalTechnology
5 Nov 2026 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HI Mobility teroka teknologi autonomi, AI bersama institusi di bawah Kementerian Pengangkutan China Image from: HI Mobility teroka teknologi autonomi, AI bersama institusi di bawah Kementerian Pengangkutan China liza05/11/2026 - 14:26 Langkah itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd (HISB) yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan GSTIKC bagi meneroka potensi kerjasama dalam sektor teknologi pengangkutan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – HI Mobility Berhad meneroka peluang memperluas perniagaan dalam sektor teknologi pengangkutan pintar menerusi kerjasama dengan Global Sustainable Transport Innovation and Knowledge Centre (GSTIKC) dari China.

 

Langkah itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd (HISB) yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan GSTIKC bagi meneroka potensi kerjasama dalam sektor teknologi pengangkutan.

 

Kerjasama berkenaan menyediakan platform kepada HI Mobility untuk memperluas akses kepada teknologi pengangkutan dari China, selain menilai kesesuaian penyelesaian mobiliti pintar di Malaysia sebagai asas kepada pengembangan perniagaan di peringkat serantau.

 

GSTIKC merupakan institusi perkhidmatan awam antarabangsa bebas dan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bernaung secara langsung di bawah Kementerian Pengangkutan Republik Rakyat China.

 

Organisasi itu memberi tumpuan kepada pembangunan pengangkutan mampan melalui penyelidikan dasar, pertukaran pengetahuan, inovasi, kerjasama antarabangsa serta pembangunan kapasiti.

 

Teroka teknologi autonomi, AI dan robotik

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk pembangunan dasar dan perancangan mobiliti mampan serta pintar, merangkumi kenderaan tenaga baharu, kenderaan autonomi, teknologi altitud rendah dan pengoptimuman infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).

 

Kerjasama itu turut merangkumi penyelesaian pengangkutan digital dan inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi, mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) serta sistem autonomi.

 

Selain itu, kedua-dua pihak akan menilai peluang dalam penyelidikan, inovasi dan demonstrasi teknologi, termasuk pertukaran pengetahuan, pembangunan modal insan serta peningkatan kepakaran dalam sektor pengangkutan.

 

Bidang lain yang turut dikenal pasti ialah kerjasama mobiliti mampan di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk pembangunan piawaian, projek perintis, pemeriksaan, pengujian, penanda aras, penilaian serta pensijilan bagi sistem pengangkutan pintar seperti pengangkutan awam bandar dan sistem kereta api bawah tanah.

 

Perluas penerokaan kepada sektor pengangkutan rel

Skop kerjasama itu turut meliputi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pengangkutan rel, termasuk teknologi penyelenggaraan tren serta infrastruktur berkaitan.

 

HI Mobility berkata, kerjasama itu menyokong hasrat syarikat untuk menjadi penyedia teknologi mobiliti pintar serantau dengan memperluas akses kepada rangkaian teknologi pengangkutan GSTIKC.

 

Syarikat itu juga melihat peluang berkenaan sebagai langkah untuk meningkatkan keupayaan operasinya, selain menilai penyelesaian teknologi yang bersesuaian untuk pasaran Malaysia sebelum mempertimbangkan peluang pertumbuhan jangka panjang di peringkat serantau.

 

Bagaimanapun, MoU berkenaan hanya menyediakan kerangka untuk meneroka potensi kerjasama teknologi dan tidak membentuk komitmen komersial bagi melaksanakan atau menggunakan mana-mana teknologi tertentu.

 

Sebarang kerjasama komersial pada masa hadapan tertakluk kepada rundingan serta pemeteraian perjanjian muktamad secara berasingan antara kedua-dua pihak.

 

MoU lima tahun, tiada kesan kewangan serta-merta

MoU itu berkuat kuasa mulai tarikh ditandatangani dan berlangsung untuk tempoh awal lima tahun, dengan pembaharuan automatik bagi tempoh lima tahun berikutnya melainkan salah satu pihak mengemukakan notis tidak memperbaharui sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tamat tempoh.

 

Kedua-dua pihak juga boleh menamatkan MoU dengan memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal, atau serta-merta sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan antirasuah dan antipenyuapan.

 

HI Mobility menjelaskan MoU itu tidak dijangka memberi kesan serta-merta atau material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, nisbah gearing, modal saham serta pegangan pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027.

 

Sebarang kesan kewangan daripada kerjasama yang dicadangkan itu bergantung kepada terma perjanjian muktamad sekiranya dimeterai kelak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved