Hijrah bantu usahawan ketengah produk, teroka pasaran dalam, luar negara

1 Jun 2023 • 8:06 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 1 JUN: Seramai 30 usahawan menyertai Hijrah Tour Selangor (HITS) anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) di Pustaka Raja Tun Uda di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Normaiza Yahya berkata program itu kali pertama diadakan yang mengumpulkan usahawan daripada pelbagai industri antaranya makanan, minuman, produk kecantikan serta wangian.

“Tujuan kita kumpulkan usahawan ini supaya dapat bantu mereka memasarkan produk di agensi yang terlibat selain beri peluang melakukan promosi.

image is not available

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Normaiza Yahya ketika program Hijrah Tour Selangor di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ini adalah inisiatif Hijrah memberikan perkhidmatan kepada usahawan, tidak sekadar hanya membantu dalam aspek pemberian modal perniagaan kerana produk mereka ini baik serta boleh diketengahkan,” katanya ditemui pada program itu semalam.

Normaiza berkata pihaknya juga mempelawa usahawan lain yang berminat hadir ke program yang dianjurkan sehingga Ahad ini.

image is not available
Antara produk usahawan yang menyertai Hijrah Tour Selangor di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Program ini tidak ada had dan terbuka untuk usahawan berminat datang ke Pustaka Raja Tun Uda bagi mendapatkan khidmat nasihat.

“Usahawan boleh datang dan mendapatkan khidmat nasihat selain mengetahui secara terperinci bantuan yang disediakan supaya perniagaan mereka berkembang. Ini medium untuk mereka meningkatkan dan memperluaskan perniagaan ke peringkat lebih luas,” katanya.

image is not available

Usahawan mengadakan perbincangan bersama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dalam program Hijrah Tour Selangor di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Antara agensi terlibat dalam program itu ialah Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah), Platform Selangor (PLATS), platform e-dagang, MyMall dan syarikat perisian Apps Engage.