Hikmah di sebalik 'kejatuhan' Bella

2 Apr 2026 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kisah Bella dan Syed Saddiq adalah sebuah ‘manifesto’ tentang harapan, keberanian untuk mencintai semula dan bagaimana seorang wanita berhak mendapat kebahagiaan hakiki.

DUNIA sering kali bersikap kejam terhadap wanita yang pernah ‘jatuh’. Dalam kamus masyarakat yang kadangkala skeptikal, kegagalan masa lalu sering dianggap sebagai parut kekal yang mencalarkan nilai diri. Namun, melalui kanta kehidupan yang kita perhatikan hari ini, naratif itu mula berubah.

Kisah Bella dan Syed Saddiq bukan sekadar sebuah berita pertunangan selebriti atau tokoh politik, ia sebuah ‘manifesto’ tentang harapan, keberanian untuk mencintai semula dan bagaimana seorang wanita berhak mendapat kebahagiaan hakiki.

Tentu ramai antara kita yang memerhati dari jauh. Bukan kerana kita peminat fanatik tetapi kerana hati kecil kita seolah-olah ikut serta dalam perjalanan emosi mereka.

Pada awal kemunculan mereka daripada kolaborasi jenama sehingga momen bersama, saya agak skeptikal. Adakah kemesraan yang ditunjukkan itu realiti atau sekadar kandungan media sosial?

Melihat Bella hari ini, saya melihat seorang wanita yang telah melalui fasa ‘ribut’ yang cukup mencabar. Jatuh dalam fasa hidup sama ada dari segi emosi mahupun maruah di mata awam bukanlah sesuatu yang mudah untuk diubati.

Ia memerlukan kekuatan dalaman luar biasa untuk bangkit semula. Keajaiban sebenar berlaku apabila wanita pernah terluka ini bertemu dengan seorang lelaki yang tampak lebih menghargai.

Sudut pandang ‘meratukan’ atau treating like a queen kadangkala disalah tafsir dengan kemewahan material. Namun, melalui penyatuan Bella dan Syed Saddiq, kita melihat definisi lebih murni.

Meratukan seorang wanita bermaksud memberikan rasa selamat (security) yang tidak berbelah bahagi. Ia adalah tentang seorang lelaki yang berdiri teguh di hadapan, melindungi masa lalu pasangannya dan membina jambatan menuju masa depan lebih cerah.

Ucapan Syed Saddiq pada hari pertunangan mereka baru-baru ini memberikan makna sangat besar kepada sesiapa yang mendengarnya.

Kata-katanya bukan sekadar susunan ayat puitis untuk menyedapkan telinga tetamu tetapi ia satu pengiktirafan terbuka (public validation).

Di saat segelintir pihak masih sinikal bertanya ‘kenapa pilih Bella yang pernah berkahwin, ada dua anak’, beliau membalasnya dengan penghormatan tertinggi.

Apabila seorang lelaki mengakui nilai wanita di sisinya dengan penuh tertib dan janji untuk menjaga, dia sebenarnya sedang menyembuhkan saki-baki luka yang mungkin masih ada dalam jiwa wanita tersebut. Pengakuan itu ubat paling mujarab bagi sebuah hati yang pernah berasa tidak dihargai.

Malah, hantaran yang Syed Saddiq sediakan juga jauh memandang ke hadapan, datang dengan rasa tanggungjawab untuk Bella dan dua amanah kecil, Ara dan Ayden, yang diterjemahkan dengan simpanan masa depan, Tabung Haji serta tabung pendidikan.

Paling menyentuh rasa apabila melihat penerimaan ibu bapa Syed Saddiq. Keikhlasan mereka yang menyenangi Bella membuktikan bahawa restu keluarga adalah tunjang utama.

Biarlah netizen terus mempersoalkan, kerana hakikatnya keluarga mereka sudah merestui tanpa syarat. Perkahwinan yang menyatukan dua jiwa dan dua keluarga dengan penuh kasih sayang sebegini pastinya akan lebih barakah.

Bagi setiap wanita di luar sana yang mungkin sedang meratapi kegagalan atau berasa diri tidak lagi layak untuk bahagia, bangkitlah! Saya sentiasa mendoakan agar wanita yang pernah terluka menemui sinar kembali.

Percayalah, di hujung setiap kesulitan pasti ada kemanisan bagi mereka yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat-Nya. Tahniah buat Bella dan Syed Saddiq.

Semoga apa yang dibina hari ini bukan sekadar indah di mata manusia, tetapi kukuh dan abadi di sisi Tuhan. Kerana di sebalik sebuah pertunangan, sebenarnya sedang terjalin sebuah janji, sebuah perancangan dan sebuah doa yang akhirnya dimakbulkan.

*Azlina Mohamad Jantan ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

View Original Article