Oleh Khairul Nizam Arifin
SUBANG JAYA, 6 APRIL: Ada hikmah tersembunyi di sebalik pembatalan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat Selangor yang dijadualkan hari ini.
Semangat Syawal dapat dirasai apabila Kerajaan Negeri mengagihkan juadah istimewa program itu kepada ratusan mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
Meski pun tiada kediaman dihiasi cantik atau baju raya baharu, namun Aidilfitri tetap dirai dengan hidangan
pelbagai menu seperti sate, kambing bakar, mi kari, pecal dan pelbagai minuman.
Juadah tersebut disediakan secara bergotong-royong oleh badan bukan kerajaan (NGO), penduduk setempat serta pihak masjid demi menyuntik keceriaan Syawal.

Agihan tidak terhenti di PPS sahaja, makanan turut dihantar ke beberapa sekolah berasrama penuh dan rumah anak yatim sebagai tanda solidariti dan kasih sayang dalam bulan mulia ini.
Inisiatif ini dilihat sebagai bukti semangat kemasyarakatan yang kental dalam mendepani musibah.

Semalam, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pembatalan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri yang dijadualkan hari ini.
Keputusan ini dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tanda menghormati mangsa insiden.
The post Hikmah rumah terbuka negeri batal, mangsa di PPS nikmati juadah raya appeared first on Selangorkini.


