Hilang 17 hari, Cikgu Nur Nazalishah ditemui di Teluk Intan

26 Dec 2024 • 5:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cikgu Nur Nazalishah dilaporkan hilang sejak 10 Disember lalu, sudah ditemui dalam keadaan selamat.

image is not available
Hebahan kehilangan Cikgu Nur Nazalishah yang tular di media sosial. Foto ihsan pembaca.

IPOH - Guru wanita yang dilaporkan hilang sejak 10 Disember lalu, sudah ditemui dalam keadaan selamat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis berjaya menemui Nur Nazalishah Ahmad, 43, di Teluk Intan, hasil maklumat orang awam.

"Pada jam 2 petang, polis berjaya menemui mangsa di Teluk Intan.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian orang hilang ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Media pada Sabtu lalu melaporkan, polis meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang guru yang beralamat di Jalan Lapangan Harmoni, Taman Lapangan Harmoni di sini.

Maklumat kehilangan guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu diterima selepas abang wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tampoi, Johor.

Berdasarkan maklumat diberikan, mangsa sebelum ini ada mengalami tekanan masalah rumah tangga.