Himpunan RXZ Members 7.0: 5 Maut Akibat Kemalangan

26 Aug 2025 • 12:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengesahkan lima kematian direkodkan akibat kemalangan ekoran himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus Terengganu, pada Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menghargai kerjasama yang diberikan oleh penganjur dan peserta sepanjang program berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berharap peserta program itu lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan berlakunya kemalangan maut.

image is not available

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menunjukkan sikap positif, di mana mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

“Ini khususnya kepada JSPT, dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan juga keselamatan yang ditetapkan sepanjang kehadiran mereka untuk hadir dalam program RXZ 7.0 di Terengganu, pergi dan balik,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, kerjasama daripada JSPT akan terus dipertingkatkan lagi, terutama untuk memudahkan dan membantu mereka (peserta RXZ 7.0).

image is not available

“Ini termasuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekiranya terdapat peserta yang melakukan kesalahan seperti menunggang dengan aksi berbahaya atau mengganggu pengguna jalan raya lain,” jelasnya.

image is not available

Program RXZ 7.0 yang dianjurkan di Gong Badak, Kuala Nerus pada 23 Ogos lalu menghimpunkan lebih 150,000 peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

Media sebelum ini melaporkan empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 ketika dalam perjalanan ke acara berkenaan.