KUALA LUMPUR - Insiden kekecohan melibatkan beberapa individu berlaku selepas selesai Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada Sabtu.
Kejadian dipercayai bermula apabila timbul perasaan tidak puas hati antara beberapa individu yang lain ketika himpunan berkenaan berakhir.
Adegan tolak menolak serta menjerit antara satu sama lain berlaku sebelum keadaan ditenangkan petugas keselamatan dan anggota polis yang bertugas.
Keadaan kemudiannya kembali tenang apabila peserta himpunan diarahkan bersurai sepenuhnya.
Bagaimanapun tidak dipastikan punca sebenar insiden berkenaan berlaku dan turut difahamkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Terdahulu, peserta Himpunan Tangkap Azam Baki ini mula berkumpul di hadapan Kompleks Beli Belah Sogo kira-kira jam 2 petang.
Peserta himpunan kemudiannya bergerak perlahan menuju ke penghujung Jalan Tunku Abdul Rahman berdekatan dengan Dataran Merdeka.





