Segera rombak sistem SPRM, bukan sekadar tukar individu

LocalPolitics
25 Apr 2026 • 6:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Segera rombak sistem SPRM, bukan sekadar tukar individu
Lee Chean Chung. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Segera rombak sistem SPRM, bukan sekadar tukar individu
Suasana sekitar Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan sekadar pertukaran individu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, perlunya dilakukan reformasi institusi bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap agensi berkenaan.

"Perubahan sistemik perlu dilaksanakan segera kerana pertukaran kepimpinan semata-mata tidak mencukupi.

"Selagi tidak tukar sistem, apa yang dikatakan oleh individu akan terus diragui, kita mahukan perubahan menyeluruh," katanya ketika berucap pada Himpunan Tangkap Azam Baki di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz mengulangi pendirian agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan kebebasan institusi itu daripada sebarang pengaruh kuasa.

**media[3502144]**

Menurutnya, langkah tersebut penting untuk menjamin ketelusan serta akauntabiliti dalam pelaksanaan siasatan berkaitan rasuah.

Himpunan kali ini merupakan yang kedua diadakan tahun ini susulan kontroversi pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam, selain dakwaan berkaitan manipulasi pengambilalihan korporat.

Difahamkan, peserta pada awalnya merancang untuk berarak dari Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka, namun pergerakan tersebut tidak diteruskan dan hanya tertumpu di sekitar Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Rafizi, Khoo Poay Tiong, Tan Yang Pang, Khairul Nadzir Helmi, Na’im Brundage, S. Arutchelvan serta P. Ramasamy.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.