
KUALA LUMPUR - Wanita yang didakwa menghina Islam dalam persembahan komedi di ibu negara baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Susulan daripada pengakuan tersebut, Siti Aminah mengarahkan tertuduh diberikan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields setiap bulan, menyerahkan pasportnya dan tidak memuatnaik sebarang kenyataan berhubung prosiding di platform media sosialnya.
Mengikut pendakwaan, Siti Nuramira atau Amy telah mengaku bahawa dirinya seorang Muslim dan menghafaz 15 juzuk Al Quran.
Tertuduh kemudiannya bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika persembahan di atas pentas sekali gus boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, antara penganut agama Islam.
Kesalahan tersebut dilakukan pada 4 Jun lalu, sekitar jam 6 petang bertempat di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail di sini.
Susulan kesalahan, Siti Nuramira dituduh mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.
Hakim Siti Aminah turut menetapkan 18 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
Nuramira diwakili tiga peguam iaitu Datuk Shaharudin Ali, R Sivaraj and Ramesh Chandran manakala pihak pendakwaan dilakukan oleh Najihah Farhana Che Awang.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun, dengan tempoh minimum dua tahun. - Getaran, 13 Julai 2022


