Hina, pukul bodyguard berpuasa, ahli perniagaan dipenjara lima tahun

29 Jul 2026 • 6:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hina, pukul bodyguard berpuasa, ahli perniagaan dipenjara lima tahun

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini yang menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan serta menghina dua bekas pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim terhadap Chung Chee Yang, 48, dengan mengarahkan hukuman penjara bagi semua kesalahan berkenaan dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Chee Yang dalam rayuan difailkan meletakkan 14 alasan termasuk pindaan pertuduhan di akhir kes pendakwaan, pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan cacat serta tidak menyatakan dirinya mengeluarkan kata-kata ugutan.

Shamsulbahri turut menolak penangguhan hukuman dipohon menerusi Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Chee Yang.

Untuk rekod, Majistret Mahkamah Klang, Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman keseluruhan enam tahun 10 bulan selepas diperintahkan berjalan berasingan, pada 28 Mac tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Shamsulbahri menyatakan kesalahan perayu adalah serius dengan mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada perayu dan mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan kesalahan begini.

Image from: Hina, pukul bodyguard berpuasa, ahli perniagaan dipenjara lima tahun
Gambar fail keadaan mangsa yang lebam selepas dipukul majikan.

“Tindakan mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang datang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras sepenuhnya agar tiada lagi kejadian serupa ini berlaku di masa hadapan.

“Perbuatan menghina tuhan agama lain adalah satu perbuatan hina dan tidak wajar diucapkan oleh orang yang dikatakan banyak berbakti kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan hukuman dijatuhkan majistret adalah dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang dan amat berpatutan dengan keseriusan kesalahan dilakukan.

“Tiada alasan yang munasabah untuk saya campur tangan dalam mengubah hukuman oleh Mahkamah Majistret.

“Jadi, sebagai kesimpulan saya menolak rayuan sabitan dan hukuman, bagaimanapun saya membenarkan hukuman penjara berasingan sebelum ini berjalan secara serentak bermula hari ini,” katanya.

Pada prosiding hari ini, responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tengku Zahari.

Kosmo! pada 28 Mac tahun lalu melaporkan perbuatan seorang ahli perniagaan menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu menerima balasan apabila dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret Klang.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan mahu menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd. Azminizam Zulkepli, 48.

Dia turut didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa dengan niat melukakan perasaan yang didengar oleh Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31.

Bagi pertuduhan ketiga, Chee Yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Azminizam.

Perbuatan itu dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di sini, antara pukul 9.30 hingga 10.30 malam, 13 April 2021. – KOSMO! ONLINE

The post Hina, pukul bodyguard berpuasa, ahli perniagaan dipenjara lima tahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved