KOTA BHARU - Seramai 65 individu termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dipanggil untuk memberi keterangan bersabit kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat nabi semasa menyampaikan ceramah politik di Terengganu minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sepanjang proses keterangan, tokoh politik itu memberikan kerjasama yang baik.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada pakar agama bagi menentukan unsur kesalahan sebelum siasatan dilengkapkan.
Menurutnya, sebanyak 63 laporan polis diterima dari seluruh negara berhubung kenyataan tersebut.
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman jahiliah.
Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi tampil memberi penjelasan bahawa perkara yang disampaikan ketika itu hanya untuk memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah.






