JOHOR BAHRU - "Itu pandangan peribadi mereka," ujar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh mengenai gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya Menteri Pendidikan meletak jawatan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pengiktirafan UEC bukan perkara baharu kerana kerajaan terdahulu juga pernah mengiktiraf sijil berkenaan dengan syarat tertentu termasuk memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.
Menurutnya, perkara itu juga pernah diterima parti-parti lain sebelum ini dan tidak seharusnya dijadikan polemik.
“Itu pandangan peribadi beliau (Hassan Karim). Sebenarnya isu UEC ini bukan isu baru. Kerajaan dahulu pun dah iktiraf dan amat jelas kena ada SPM, kena ada Sejarah dan Bahasa Melayu.
“Jadi ia bukan isu baru. Parti-parti lain pun iktiraf, jadi tak ada isu. Itu pandangan peribadi dia,” katanya selepas program Pemukiman Penerangan Pusat 2026 di sebuah hotel di bandar raya ini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu meletak jawatan kerana gagal menentang keputusan Kabinet berkenaan keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Jelasnya, kedua-dua menteri sepatutnya mempertahankan dasar pendidikan nasional dan segala berhubungan dengannya dalam soal saluran kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

