Hina Sultan Perak, Wanita Direman 4 Hari

6 May 2023 • 9:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, permohonan reman bermula hari ini terhadap wanita itu, dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Wanita berusia 34 tahun yang disyaki memuat naik video dengan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di Tiktok, direman empat hari sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, permohonan reman bermula hari ini terhadap wanita itu, dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Noorsiah memaklumkan polis menahan wanita terbabit kerana disyaki memuat naik video yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di akaun media sosial Tiktok @ijaheartfarizahwhitenew, Isnin lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan di kawasan parkir kereta di Klang, Selangor, semalam.

Katanya, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y15A serta dua keping kad sim.

Sementara itu, Noorsiah turut menasihati orang awam agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi, dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. - Getaran, 6 Mei 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved